Oleh Zuliaty Zulkifli

Alor Setar: Seorang lelaki yang dalam perjalanan bersama empat ahli keluarganya untuk melawat saudara mereka di UniMap Perlis maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Masjid Aman, Jalan Kuala Kedah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi tadi, mangsa, Jamal Abdul Nasir Awad, 56, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.

Difahamkan, kemalangan itu membabitkan empat buah kenderaan Toyota Innova, Perodua Myvi, Honda Accord dan Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mangsa yang menaiki Toyota Innova meninggal dunia dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu manakala isteri dan tiga ahli keluarganya yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

"Mayat mangsa dikeluarkan anggota bomba yang mengambil masa kira-kira 30 minit dan dihantar ke Jabatan Forensik HSB di sini, untuk dibedah siasat.

"Siasatan awal mengesyaki berkemungkinan kemalangan itu berpunca akibat mengantuk atau kenderaan dipandu laju sehingga menyebabkan tiga daripada empat kenderaan itu remuk teruk.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 12:10 PM