KEMALANGAN membabitkan sebuah treler dan 4 kereta di Lebuhraya Kesas, Shah Alam. FOTO Ihsan PDRM
KEMALANGAN membabitkan sebuah treler dan 4 kereta di Lebuhraya Kesas, Shah Alam. FOTO Ihsan PDRM
Dawn Chan


LIMA kenderaan termasuk lori treler membawa kontena, terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Kesas, dekat Shah Alam yang dipercayai berpunca dari kereta Proton Wira yang hilang kawalan, tengah malam tadi.

Selain kereta Proton Wira serta lori treler berkenaan, kemalangan kira-kira 12 tengah malam di KM 29.8 lebuh raya itu turut membabitkan kereta Perodua Myvi, Hyundai Elantra dan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Storm.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca selepas Proton Wira yang dipandu di laluan kanan, terbabas ke lorong tengah.

"Kereta Perodua Myvi yang dipandu di lorong tengah gagal mengelak menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.

"Pada masa sama, kereta Hyundai Elantra yang berada di laluan kanan, dilanggar sebuah lagi kenderaan yang masih dikenal pasti, menyebabkan ia terbabas dan melanggar pembahagi jalan dan Proton Wira berkenaan.

"Lori treler yang dipandu di lorong tengah dipercayai cuba mengelak kemalangan di laluan sama dengan memasuki lorong kanan, namun ia melanggar Mitsubishi Storm yang kemudian melanggar pembahagi jalan," katanya.

Pemandu kereta Perodua Myvi, Hyundai Elantra dan Mitsubishi Storm sudah dikenalpasti iaitu Nachiappan N Palaniappan, 30; Emily Loh Li Yeng, 18 dan TMohan Ellen @ Thandavamurthi, 52, manakala pemandu kereta Proton Wira dan treler masih belum membuat laporan polis.

Azman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memandu kereta secara melulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 1:57 PM