MANGSA terkena peluru penabur ketika melalukan rondaan bermotosikal bersama rakan setugas. FOTO Ahmad Ismail
MANGSA terkena peluru penabur ketika melalukan rondaan bermotosikal bersama rakan setugas. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

Segamat: Anggota polis bantuan cedera di pipi kiri dan belakang badan terkena peluru penabur yang dipercayai dilepaskan pemburu ayam hutan di ladang kelapa sawit di Batu Anam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Kamil Sukarmi berkata, dalam kejadian 6.20 petang itu, M Vigneswaran, 26, sedang melalukan rondaan bermotosikal bersama rakan setugas, Muhamad Hasnor Rahmin, 31, di kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.

Katanya, tidak lama kemudian Muhamad Hasnor mendengar jeritan rakan setugasnya yang ketika itu menunggang motosikal di belakangnya sejurus terdengar satu tembakan.

"Muhamad Hasnor memberhentikan motosikalnya dan berlari mendapatkan Vigneswaran yang ketika itu sedang menekup pipi kirinya yang berlumuran darah sambil menjerit kesakitan.

"Mangsa juga mengadu sakit di belakang badan dan apabila rakan setugasnya memeriksa mendapati dia luka akibat tembakan peluru penabur tetapi selepas membuat pemeriksaan di dalam ladang kelapa sawit itu, anggota polis bantuan itu tidak menemui sesiapa," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 6:02 PM