ANGGOTA forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis.
ANGGOTA forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Polis.
Nur Saliawati Salberi


LELAKI cedera di perut dan lutut akibat terkena peluru sesat ketika berada di kebun miliknya di On Lok, Batang Melaka, Jasin petang semalam.

Dalam kejadian 2 petang, mangsa berusia 64 tahun pergi ke kebun bersama isteri dan anak perempuan untuk menanam cili padi serta pisang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika di kebun tiga beranak itu berpecah dan melakukan kerja masing-masing sebelum mangsa mendakwa terkena peluru.

Beliau berkata, mangsa kemudian terdengar bunyi tembakan dan berasa sakit pada badan dan lutut.

“Mangsa kemudian memeriksa badannya dan mendapati perut serta lututnya cedera. Dalam keadaan cemas dia nampak dua lelaki menaiki motosikal bergegas meninggalkan kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, mangsa ke Klinik Kesihatan Selandar bagi mendapatkan rawatan dan doktor mengeluarkan sebutir anak peluru penabur berukuran 0.4 sentimeter di bahagian lutut kiri.

“Peluru menembusi perut mangsa dipercayai terjatuh di lokasi. Hasil siasatan awal pasukan forensik di lokasi kejadian, suspek dipercayai sedang memburu ayam.

“Mereka melepaskan tembakan dari kawasan belukar atau kebun kelapa sawit terbiar berhampiran,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan semakan pemilik lesen senjata api bagi mengesan pemiliknya selain kes disiasat mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 3:39 PM