GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki terbabit kes pecah cermin enam kenderaan yang diparkir di tepi jalan kawasan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil di sini, pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan di kawasan Razak Mansion di sini, kira-kira 7 malam tadi.

Beliau berkata, suspek ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang menjalankan siasatan dan risikan.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek turut terbabit kes curi bungkusan dan pecah rumah di sekitar kawasan Cheras.

"Semakan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Harian Metro pada 5 Julai lalu melaporkan, enam cermin kereta yang diparkir di tepi jalan di kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil.

Polis menerima laporan kejadian pada 2 Julai dan semakan mendapati kesemua kereta itu diparkir pemilik di lokasi terbabit sehari sebelum kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 3:56 PM