ADAM Adli bersama Hamidin menunaikan solat hajat pada Majlis Bacaan Yasin serta Solat Hajat untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 di Surau Al-Faizin, Bukit Jalil hari ini. FOTO BERNAMA
ADAM Adli bersama Hamidin menunaikan solat hajat pada Majlis Bacaan Yasin serta Solat Hajat untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 di Surau Al-Faizin, Bukit Jalil hari ini. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Berbasikal trek dan badminton menjadi harapan buat Chef de Mission (CDM) Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pertama di temasya berkenaan.

Menurut Hamidin, ia berdasarkan prestasi semasa selain pencapaian sukan berkenaan dalam beberapa kejohanan dan temasya Olimpik edisi sebelum ini.

"Antara atlet berpotensi menghadirkan pingat emas sulung Malaysia itu adalah perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia; beregu lelaki nombor satu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang," katanya selepas Majlis Bacaan Yasin serta Solat Hajat untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Ujarnya, jika ada atlet muda seperti di sukan renang, memanah dan terjun menghadirkan pingat lain, ia sudah cukup bagus demi masa depan atlet berkenaan bagi Olimpik edisi akan datang.

"Ia juga satu bonus buat kontinjen negara, kita letak dulu sasaran satu pingat emas sebagai permulaan.

"Sasaran yang diutarakan menteri kita (Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh) perlu berusaha untuk dapatkannya," katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selasa lalu, Hannah memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal dengan sasaran hanya satu pingat emas pada temasya Paris 2024.

Dalam pada itu, Hamidin menyeru atlet yang membuat penampilan pertama terutama bagi mereka yang beraksi menerusi tiket wild card di temasya sukan empat tahun sekali itu untuk sekurang-kurangnya memperbaharui rekod peribadi terbaik masing-masing.

Beliau turut mengingatkan agar semua atlet supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri sepanjang membuat persediaan menjelang Paris 2024.

"Macam saya cakap, atlet perlu berhati-hati dalam latihan dan sparing partner baik badminton atau lain-lain sukan, kekal fokus dan jaga keadaan badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 4:13 PM