FISOL pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. FOTO Wan Nabil Nasir
FISOL pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. FOTO Wan Nabil Nasir
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kes kemalangan jalan raya di negeri ini meningkat sepanjang Januari tahun ini hingga Jun lalu berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sebanyak 14,319 kes kemalangan direkodkan bagi tempoh itu tahun ini, berbanding 14,230 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

Menurutnya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 89 kes (0.6 peratus) berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Bagaimanapun, kemalangan maut menurun sebanyak 26 kes iaitu sebanyak 276 kes kemalangan maut dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 302 kes kemalangan maut bagi tempoh sama, tahun lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Fisol berkata, kes kemalangan maut di daerah Kuala Muda masih penyumbang utama di negeri ini, dan ketiga tertinggi antara 153 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara selepas Kuala Lumpur iaitu 102 kes dan Kajang (86 kes).

"Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan beringat ketika berada di atas jalan raya, pandu dengan cermat dan bertimbang rasa.

"Sentiasa amalkan pemanduan selamat iaitu secara 'defensive' dan patuh kepada semua undang-undang dan peraturan lalu lintas.," katanya.

Dalam pada itu, Polis Kedah turut melupuskan 320 barangan membabitkan pelbagai aksesori motosikal yang dirampas dalam operasi samseng jalanan sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 4:22 PM