MOHD Saiful cedera terkena tembakan senapang patah rakannya. FOTO ihsan Polis
MOHD Saiful cedera terkena tembakan senapang patah rakannya. FOTO ihsan Polis
Fitri Nizam


LELAKI cedera di pinggang dan lengan kiri terkena tembakan senapang patah dilepaskan rakannya ketika operasi memburu babi hutan di kebun kelapa sawit di Kg Padang Buloh, Pasir Akar, Jerteh, Besut, hari ini.

Mangsa, Mohd Saiful Bahri Sulaiman, 29, keluar sebagai pemandu arah bersama dua pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Besut ke lokasi pada 12.30 tengah malam untuk memburu babi hutan selepas menerima aduan daripada orang kampung. Mangsa bersama seorang daripada anggota PERHILITAN menunggu di kabin belakang kenderaan pacuan empat roda sebelum terlihat babi hutan melintas di hadapan kenderaan, pada 4.35 pagi.

Pegawai PERHILITAN terbabit kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah babi hutan, namun binatang liar terbabit tidak mati.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, Pegawai PERHILITAN terbabit dikatakan cuba mengubah kedudukan bagi melepaskan tembakan seterusnya namun dia tergelincir dan terjatuh di dalam kabin terbabit.

“Ia menyebabkan senapang yang dipegangnya tertembak mangsa.

“Tembakan itu menyebabkan mangsa cedera sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Jertih oleh dua pegawai PERHILITAN berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zamri berkata, mangsa dilaporkan mengalami luka tembakan peluru penabur di bahagian pinggang sebelah kiri dan juga di lengan sebelah kiri.

“Berdasarkan kecederaan yang dialami, mangsa terkena tembakan dengan jarak dekat lebih kurang 0.6 meter.

“Mangsa dilaporkan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut memandangkan masih terdapat peluru penabur dalam badan mangsa,” katanya lagi.

Katanya, kedua-dua pegawai terbabit yang juga Pembantu Hidupan Liar berusia 28 dan 32 tahun akan ditahan bagi membantu siasatan termasuk merampas senapang yang digunakan ketika kejadian.

Mohd Zamri berkata, hasil temu bual dengan Ketua PERHILITAN, mengesahkan dua pegawai terbabit ada memaklumkan kepadanya mengenai operasi memburu babi hutan itu.

“Selain itu, beliau turut memberitahu tugasan rondaan serta memburu adalah rutin bagi pegawai PERHILITAN sekiranya menerima aduan daripada orang kampung.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 37, Akta Senjata 1960,” katanya lagi.

PIX Ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 9:02 PM