PENDAKI yang dilaporkan terperangkap. FOTO ihsan Mustaqim Mustaza
PENDAKI yang dilaporkan terperangkap. FOTO ihsan Mustaqim Mustaza
Suraya Roslan dan Rizanizam Abd Hamid


Banda Aceh: Cuaca buruk dengan suhu dianggarkan satu darjah Celsius di puncak menjadi halangan operasi menyelamat 13 pendaki Malaysia dan sembilan jurupandu terperangkap di Gunung Loser yang kini memasuki hari kelapan, hari ini.

Pengarah Urusan Kallai Kapital Group Global Communication Center (KKG-GCC) Malaysia, Mustaqim Mustaza berkata, 13 pendaki berusia 15 hingga 41 tahun itu memulakan pendakian pada 1 Disember lalu melalui Base Camp, Jalur Kedah sebelum Ahmad Nazit Rashid, 40, diserang kekejangan perut dan hipotermia pada hari ketujuh pendakian.

“Sebanyak 12 orang termasuk tiga wanita dilaporkan terperangkap di Kem Bipak Kaleng pada ketinggian 2,972 meter manakala ketua pendaki, Khairil Aslan Ab Rasid, 41, pula terperangkap di ketinggian 3,404 meter bersama tiga jurupandu Aceh.

“Khairil Aslan naik ke puncak gunung untuk mendapatkan bantuan dan berjaya menghubungi saya Sabtu lalu pada 6.38 petang melalui ‘distress call.’

“Saya kemudian menghubungi Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS) pada 8 malam memaklumkan kejadian itu sebelum SAR Banda Aceh mengesahkan mereka tidak dapat menghantar helikopter disebabkan cuaca buruk pada 10.30 malam (waktu tempatan),” katanya.

Mustaqim berkata, sehingga hari ini mereka tidak dapat menghubungi kumpulan pendaki itu dan keadaan Ahmad Nazit dilaporkan kritikal.

“Saya dimaklumkan BASARNAS terpaksa menggunakan jalan darat dengan mendaki gunung itu dan 13 pendaki negara sepatutnya pulang ke Malaysia pada 17 Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan, kakak Ahmad Nazit yang juga guru pendidikan jasmani di Sekolah Kebangsaan Lanai, Parit Panjang, Kupang, Kedah bercadang ke Aceh bagi mendapatkan perkhabaran berita lebih jelas mengenai nasib menimpa adiknya itu.

“Keluarga terlalu bimbang akan keselamatan Ahmad Nazit apatah lagi mereka menerima penyebaran berita yang tidak baik dan tidak sahih mengenai nasib adiknya.

“Saya harap masyarakat mendoakan perkara yang baik-baik dan bukannya menambah tekanan kepada keluarga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berikut adalah senarai nama pendaki Malaysia yang dilaporkan terperangkap di Gunung Loser itu:

1. Khairil Aslan Ab Rasid, 41 (Bangi Lama, Selangor).

2. Muhammad Najman Harith Khairil Aslan, 15, (Bangi Lama, Selangor) (anak Khairil Aslan).

3. Ahmad Nazit Rashid, 40, (Simpang Teluk Teduri, Kedah)

4. Fitrizan Azizan, 34, (Alor Mengkudu, Kedah)

5. Nor Azizah Ahmad, 33, (Kuala Kurau, Perak)

6. Siti Aminah Bakar, 38, (Ipoh, Perak)

7. Norimah Zakaria, 40, (Puchong, Selangor)

8. Asmirul Faizal Arifin, 36, (Shah Alam, Selangor)

9. Mohd Khairul Adi Ahmad Shansuri, 29, (Teluk Intan, Perak)

10.Noor Adi Fawwaz Jamaludin, 29, (Jitra, Kedah)

11.Mohd Aminulzahid Abd Rahman, 34, (Gombak, Selangor)

12.Muhamad Asri Ashari, 34, (Sungai Petani, Kedah).

13 Muhammad Ariff bin Jamaludin (Ampang Jaya, Selangor)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 3:12 PM