Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiga belas pendaki Malaysia ditemui selamat selepas bertembung dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Gunung Loser, Aceh beberapa jam lalu, hari ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Urusan Kallai Kapital Group Global Communication Center (KKG-GCC) Malaysia, Mustaqim Mustaza yang menerima mesej daripada seorang daripada pendaki pada 3.02 petang tadi.

“Semua 13 pendaki dan sembilan jurupandu Aceh ditemui selamat dan kini berada di Kem Kayu Manis 2.

“Keadaan mereka sihat termasuk Ahmad Nazit yang dilaporkan sebelum ini mengalami hipotermia dan dalam perjalanan turun menuju Base Camp, Jalur Kedah,” katanya kepada Harian Metro.

Seramai 13 pendaki Malaysia terperangkap di gunung berkenaan akibat cuaca buruk dalam misi menawan Puncak Loser.

Dua belas orang dilaporkan terperangkap di Kem Bipak Kaleng pada ketinggian 2,972 meter manakala ketua pendaki Khairil Aslan Ab Rasid pula terperangkap di ketinggian 3,404 meter sebelum berjaya turun ke kumpulan berkenaan dua hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 6:24 PM