PENULIS (kiri) bersama lima pendaki Aceh. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid
PENULIS (kiri) bersama lima pendaki Aceh. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid
Khairil Aslan Ab Rashid

SEBUT saja Aceh, Indonesia pasti ramai mengaitkan wilayah itu dengan kawasan pinggir lautan yang sebelum ini menjadi lokasi tsunami besar pada 2004.

Namun, tidak ramai yang tahu Aceh juga memiliki kawasan hutan hujan tropika yang luas iaitu kira-kira empat juta hektar.

Keluasan itu melayakkan Aceh digelar Amazon Kedua dan kawasan banjaran pergunungannya mendapat jolokan 'Banjaran Paru-Paru Dunia.'

Keistimewaan itu mendorong penulis memenuhi jemputan misi khas Jelajah Puncak Aceh (JAPAKEH) 13, baru-baru ini.

Undangan itu daripada pendaki terkenal Aceh, Syed Murtadza yang juga Ketua Trackers iaitu sebuah kelab pendaki gunung di wilayah berkenaan.

JAPAKEH 13 dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah Aceh Timur dan ia bertujuan meneroka puncak gunung yang belum diterokai.

Menurut Syed Murtadza, penulis satu-satunya pendaki dari luar Indonesia yang dijemput kerana mereka percaya dengan kebolehan dan pengalaman dalam aspek menjejak, navigasi hutan serta membaca peta topografi.

Perbincangan dilakukan selama hampir dua bulan dan akhirnya, pada 4 Disember lalu penulis bertolak ke Aceh untuk menyertai ekspedisi berkenaan.

BANGGA membawa nama Malaysia. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid
BANGGA membawa nama Malaysia. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid

DI puncak satu daripada gunung yang berjaya ditawan. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid
DI puncak satu daripada gunung yang berjaya ditawan. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid

Sepanjang 25 hari ekspedisi berlangsung selain penulis dan Syed Murtadza turut serta ialah empat pendaki Indonesia berjaya menawan 13 puncak pergunungan yang belum pernah dijejaki selama ini.

Puncak tertinggi yang ditemui dan berjaya ditawan adalah Gunung Kurik iaitu setinggi 3,085 meter (m) manakala tiga lagi puncak ialah di kawasan pergunungan Lembu (Goh Leumeu) iaitu Lembu Tenggara (3,050m), Rocky (3,060m) serta Pilar (3,048m).

Antara semua itu, penulis paling tertarik dengan puncak Rocky kerana kira-kira 10 hektar kawasannya dipenuhi batu-batuan seperti cendawan dan kami menamakannya sebagai Rocky sempena nama panggilan pemerintah Aceh Timur.

Bagaimanapun, bagi penulis, ekspedisi ini benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental kerana kami perlu mendaki laluan hutan hujan tropika tebal yang belum pernah diterokai sebelum ini.

Pada masa sama, kami juga membuka jalur laluan untuk ke kawasan pergunungan yang didaki.

Sebagai penghormatan kepada kesudian penulis menyertai ekspedisi berkenaan, Syed Murtadza selaku ketua pendaki turut mengabadikan satu kawasan di ketinggian 2,875m di pergunungan itu sebagai Bang Aslan Base Camp.

ANTARA tumbuhan unik yang ditemui sepanjang pendakian. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid
ANTARA tumbuhan unik yang ditemui sepanjang pendakian. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid

Ia penghormatan kepada penulis yang menjadi orang pertama tiba di kawasan tidak ubah seperti savana.

Pengalaman lebih 30 tahun dalam aktiviti mendaki gunung bagaikan tidak setara dengan apa yang dilalui penulis sepanjang mengikuti ekspedisi terbabit.

Apa tidaknya, mereka terpaksa menggunakan kaedah navigasi kuno iaitu menggunakan jejak tapak kaki kambing untuk mencari laluan kawasan bertanah.

Biarpun dilengkapi peralatan peranti GPS canggih dan peta, realiti keadaan di kawasan pergunungan yang belum diterokai itu adalah sebaliknya.

Ada laluan yang terputus antara dua pergunungan dan pelbagai cabaran getir penulis serta pendaki lain perlu tempuhi.

Selain itu, cabaran berdepan cuaca hujan dan ribut hampir setiap hari turut menguji ketahanan fizikal serta mental kami.

Suhu di kawasan pergunungan pada waktu malam terlampau sejuk dan jika tidak berjaga-jaga, kami boleh terkena 'hipotermia'.

Dek laluan penuh berliku dan perlu guna tenaga sepanjang hari, bekalan makanan kami juga hampir habis sebelum ekspedisi tamat.

PEMANDANGAN puncak gunung di atas awan. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid
PEMANDANGAN puncak gunung di atas awan. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid

Namun, mujurlah di sepanjang pendakian, kami tidak terserempak binatang buas atau berbahaya kerana kawasan hutan itu sejuk.

Kami akhirnya sepakat keluar dari kawasan pergunungan itu selepas meneliti pelbagai aspek terutama bekalan makanan yang sudah kehabisan.

Alhamdulillah, selepas 25 hari berada di kawasan pergunungan itu, penulis dan pendaki lain akhirnya kembali ke bandar Aceh.

Banyak suka duka pengalaman diperoleh sepanjang menyertai ekspedisi berkenaan, namun perkataan sesal bukan satu daripadanya.

Ini kerana penulis berbangga menjadi satu-satunya pendaki dari luar Indonesia yang dijemput menyertai JAPAKEH 13 dan ia pengiktirafan yang tidak boleh dinilai dengan wang.

Ia secara tidak langsung membuktikan pengalaman dan kepakaran anak Malaysia dalam bidang mendaki hutan hujan tropika diiktiraf pihak luar.

Insya-Allah, jika ada rezeki dan peluang, penulis tidak akan menolak jika dijemput lagi.

BANG Aslan Base Camp sebagai mengiktiraf sumbangan penulis. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid
BANG Aslan Base Camp sebagai mengiktiraf sumbangan penulis. FOTO Khairil Aslan Ab Rashid

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 7:00 AM