Khairil Aslan memuat naik status kejayaannya di Facebook
Khairil Aslan memuat naik status kejayaannya di Facebook
Oleh Yahya Awang


Taiping: Pendaki solo yang juga anak jati Batu Kurau, Khairil Aslan Ab Rasid, 40, catat sejarah tawan tiga puncak Himalaya di Kathmandu, Nepal, dalam tempoh kira-kira sebulan selepas memulakan ekspedisi itu pertengahan bulan lalu.

Ketua Pelancongan dan Media Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Hanim Ramly berkata, Khairil Aslan melakukan pengembaraan solo dengan misi untuk menawan tiga puncak tertinggi pergunungan Himalaya.

Katanya, dia dimaklumkan oleh Khairil Aslan melalui WhatsApp kejayaannya menawan tiga puncak berkenaan iaitu Puncak Maru, Puncak Lobuche dan Puncak Island.

"Misi terakhir Khairil ialah berjaya menawan Puncak Island pada 20 Disember lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, Khairil Aslan dijangka pulang ke Malaysia hari ini dan tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.40 malam ini.

"Khairil Aslan dijangka menerima sambutan meriah di Taiping dan Batu Kurau apabila pulang ke sini nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2015 @ 6:46 PM