Air yang diperolehi dari ‘dunia mossy’ dijadikan minuman sepanjang perjalanan.
Air yang diperolehi dari ‘dunia mossy’ dijadikan minuman sepanjang perjalanan.
ASLAN berdiri megah di puncak Gunung Loser.
ASLAN berdiri megah di puncak Gunung Loser.
BELALANG kunyit antara makanan Aslan sepanjang ekspedisi.
BELALANG kunyit antara makanan Aslan sepanjang ekspedisi.
‘DUNIA mossy’ penuh misteri yang belum dirungkai.
‘DUNIA mossy’ penuh misteri yang belum dirungkai.
Oleh Roslan Ibrahim


Sebut gunung mana yang tidak pernah didaki di Malaysia, malah dia mendaki Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di Malaysia sebanyak 10 kali selain Banjaran Titiwangsa dan Gunung Kalapathar setinggi 5,550 meter.

Mula mendaki ketika berusia 16 tahun, lulusan Kolej Shinagawa, Tokyo itu pernah bekerja selama 11 tahun sebagai jurutera mekanikal di sebuah syarikat swasta sebelum mengambil keputusan berhenti kerja kerana terlalu meminati aktiviti lasak dan ekstrem.

Kegilaan mendaki gunung membawa anak muda itu melakukan ekspedisi lebih hebat iaitu penjelajahan serta pendakian dari Barat Daya Paru-Paru Dunia yang meliputi Gunung Loser dan Gunung Leuser sehing­ga ke selatan Gunung Kemiri di Aceh Tengah selama 25 hari.

Malah, UNESCO Taman Negara Leuser mengiktiraf Khairil Aslan Ab Rasid, 40, dari Batu Kurau, Perak itu pendaki pertama Malaysia yang mencipta rekod ekspedisi dari Barat Daya Aceh Taman Negara Leuser ke Selatan Aceh Gunung Kemiri yang dianggap pendakian terpanjang di Asia.

Bermula dari 23 Mei hingga 17 Jun lalu, dengan dana RM60,000 daripada penaja, Aslan melakukan sesuatu yang luar biasa walaupun tahu risiko dia mungkin tidak dapat keluar atau kehilangan nyawa.

“Tiada manusia berjaya melakukan ekspedisi di hutan hujan tropika paling lasak di dunia itu kerana kawasannya berisiko memandangkan bentuk muka bumi yang pelbagai selain haiwan liar yang boleh menyerang bila-bila masa.

“Sebelum ini, ada enam kematian dicatatkan di kalangan pendaki yang mahu mencuba kelasakan muka bumi dan pancaroba paru-paru dunia itu.

“Dulu, ada pendaki mencuba melakukan ekspedisi, tapi perjalanan lelaki terbabit dari Gunung Kemiri di selatan dan tidak pernah sampai ke barat daya,” katanya.

Katanya, kawasan tengah Aceh seluas empat juta hektar yang dipanggil paru-paru dunia itu dipenuhi gunung-ganang dan hutan rimba. Tidak hairanlah masyarakat menggelarkan kawasan itu negeri 1,000 gunung.

“Saya memulakan penjelajahan dari Gayo Lues Blang Kajeren iaitu kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli Aceh yang masih mengamalkan cara hidup primitif, tapi beragama Islam.

“Kawasan itu pintu masuk ke paru-paru dunia dan penjelajahan saya menempuh empat dunia berbeza iaitu hutan jutaan tahun, dunia lumut, dunia savana dan dunia batu batan.

“Penjelajahan sejauh lebih 300 kilometer dari barat daya ke selatan mengambil masa 25 hari itu dan dibantu empat portal masyarakat Orang Asli di Aceh Tengah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang ekspedisi itu, dia membawa beg seberat 30 kilogram manakala portal yang membantunya membawa bekalan asas seperti gula dan garam.

“Makan bukan masalah besar kerana pengalaman ikhtiar hidup memboleh­kan saya mencari makan sendiri termasuk makan tupai, belalang dan kijang manakala air minuman daripada sungai yang belum tercemar.

“Saya berjalan di antara 11 hingga 12 jam sehari dan hanya tidur sebentar selepas melakukan pendakian.

“Justeru, hanya Allah tahu perasaan ketika itu dan setiap kali berdoa selepas solat, saya pasti menangis mengenangkan betapa kerdilnya saya di muka bumi-Nya,” katanya.

Hari pertama, dia mendaki sekitar 1,800 meter sebelum memasuki dunia hutan yang tebal.

“Di sekeliling saya hutan rimba dan sungguh teruja dengan alam semula jadinya sehingga tercegat beberapa kali melihat ciptaan Allah yang luar biasa.

“Di sini, saya mendapati jumlah spesies orang utan yang banyak dan haiwan itu hidup bebas bersama binatang lain termasuk burung enggang.

“Saya tidur dengan ditemani empat pembantu dan unggun api tanpa mempedulikan orang utan yang gemar mengganggu kami,” katanya.

Esoknya, Aslan berjalan selama 11 jam meredah dunia hutan rimba sebelum memasuki ‘dunia mossy’ (berlumut).

Dunia berlumut memang berbeza kerana pokok dan kawasan sekitar dipenuhi lumut sehingga Aslan terpaksa berhati-hati berjalan bagi mengelak terjatuh.

“Saya seperti tidak percaya memasuki dunia berlumut ini kerana sebelum melakukan penjelajahan ini, saya tidak pernah membayangkan dapat melihat ke­anehan seperti itu.

“Dalam kawasan dunia berlumut ini, ada aliran anak sungai yang jernih dan airnya boleh diminum kerana tiada sebarang pencemaran,” katanya.

Selepas itu, dia meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, ‘dunia savana’ iaitu kawasan padang rumput yang saujana mata memandang. Ia dipenuhi rumput dan tumbuhan renek selain pelbagai jenis hidupan seperti kijang yang hidup bebas tanpa gangguan.

“Tiga dunia berbeza yang dilalui memang sesuatu yang sukar dipercayai, tapi inilah anugerah Allah untuk manusia sejagat,” katanya.

Dunia terakhir yang dilalui ialah dunia batu batan, kawasan yang dipenuhi bukit-bukau serta gunung-ganang, berbeza sama sekali berbanding tiga dunia yang dilalui sebelum ini.

“Perjalanan menjadi perlahan kerana saya perlu mendaki dan menuruni bukit berbatu selain berhati-hati bagi mengelak tergelincir atau mengalami luka malah cuaca juga berbeza dari 15 darjah Celsius pada siang hari hingga 1 darjah Celsius pada waktu malam.

“Semua dunia yang dilalui ini ibarat dunia ter­sembunyi yang menyimpan 1,001 rahsia,” katanya.

Selepas menamatkan ekspedisi yang dianggap mustahil itu, Aslan kini bersiap sedia untuk melakukan penjelajahan lebih besar, menjelajah tujuh benua dan mendaki tujuh gunung tertinggi antaranya Gunung Everest (Asia), Gunung Aconcagua (Amerika Selatan), Gunung McKinley (Amerika Utara), Kilimanjaro (Afrika), Puncak Jaya (Indonesia), Gunung Kosciusko (Australia) dan Gunung Elbrus di Eropah.

“Sebagai anak merdeka, inilah sumbangan saya untuk mengharumkan nama negara di persada dunia kerana jika bangsa lain boleh melakukan, insya-Allah anak Melayu juga mampu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 5:27 AM