GAMBAR kenangan Khairil Aslan ketika ekspedisi pendakian Banjaran Paru Paru Dunia, Indonesia sebelum ini. FOTO ihsan Khairil Aslan
GAMBAR kenangan Khairil Aslan ketika ekspedisi pendakian Banjaran Paru Paru Dunia, Indonesia sebelum ini. FOTO ihsan Khairil Aslan
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Misi pendakian menawan Gunung Loser setinggi 3,404 meter yang juga puncak tertinggi di Banjaran Paru Paru Dunia, Indonesia lebih istimewa buat penjelajah negara, Khairil Aslan Ab Rasid walaupun dia pernah menjayakan misi sama sebanyak dua kali sebelum ini.

Ini kerana Khairil Aslan, 47, akan melakukan pendakian yang berbeza iaitu melalui Aceh Tengah dan akan merintis laluan baharu untuk turun dari puncak terakhir iaitu puncak Gunung Leuser ke kawasan laut iaitu ke Aceh Barat Daya.

Khairil Aslan berkata, dia akan berlepas ke Aceh, Indonesia untuk misi ekspedisi ketiga pendakian itu, 13 Oktober ini dan pendakian bermula keesokannya dari Blangkajeren Gayo Lues.

Menurutnya, tema ekspedisi kali ini adalah 'From Summit To Sea 2022' dan turut disertai rakannya, Mohd Amierul Abdullah.

"Pendakian kali ini untuk menyambung misi pada 2015 yang sepatutnya ia dilakukan dua tahun lalu tetapi ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

"Saya sudah membuat kajian laluan yang akan dirintis dan dijangka misi ini mengambil masa 25 hari untuk disempurnakan tetapi kita berharap ia dapat diselesaikan dalam masa 23 hari, namun ia bergantung dengan keadaan cuaca," katanya.

Menurutnya, mereka juga akan berhadapan dengan cabaran cuaca lembap dan dijangka kerap hujan sepanjang misi berkenaan yang memerlukan kekuatan mental serta fizikal.

"Suhu di kawasan itu memang sejuk dan jika di kawasan perkampung boleh mencecah 14 hingga 15 darjah celcius pada tengah hari, manakala malam pula sembilan hingga 11 darjah celcius.

Kalau di puncak pergunungan itu pernah cecah dua hingga tiga darjah Celsius.

"Cuaca bulan Oktober agak lembap dan mungkin banyak tompokan awam hitam dan di ketinggian lebih 3,000 meter biasanya kabus akan menutupi keseluruhan kawasan jadi jarak pemandangan memang terhad," katanya.

Bercerita lanjut, Khairil Aslan berkata, Banjaran Paru Paru Dunia adalah hutan hujan tropika yang terbesar di Asia dianggarkan berkeluasan 4.5 juta hektar dan turut digelar sebagai negeri seribu gunung (mempunyai ribuan gunung) dan serpihan dari syurga.

Katanya, puncak tertinggi di Banjaran Paru Paru Dunia adalah Gunung Loser setinggi 3,404 meter serta Gunung Leuser setinggi 3,119 meter dan ia terletak dalam kawasan Taman Nasional Leuser.

"Hutannya memang tebal dan pendakiannya akan menempuh tempoh yang sukar dan tempoh masa yang lama tetapi yang menariknya ia mempunyai empat 'dunia' berbeza.

"Yang pertama menempuh hutan jutaan tahun yang ada banyak pokok berusia jutaan tahun, ada hidupan luar terutama orang utan dalam jumlah yang banyak. Keduanya hutan 'mossy' seperti dalam filem fiksyen yang berkeluasan beribu hektar.

"Ketiga, kita akan jumpa hutan savana atau padang rumput seperti di Safari, Afrika di mana di sini tiada pokok besar dan tinggi, malah kawasan ini juga paling sejuk dan banyak binatang liar seperti harimau Sumatera.

"Manakala yang keempat kawasan berbatu yang ada flora dan fauna cukup menarik. Biasanya pada Mei akan jumpa 'black orkid' yang jarang dijumpai dan ia tumbuh di celahan batu," katanya.

Katanya, laluan baharu yang akan dirintis pada misi kali ini juga pernah dirintis pasukan Renjer Taman Nasional Leuser pada 2016 dan selepas itu tidak pernah ada lagi mana-mana pendaki yang pernah memasuki laluan itu.

Justeru katanya, jika dia menembusi laluan itu, ia akan menjadi sejarah buat negara dan negara jiran itu kerana menjadi pendaki kedua dunia yang pernah menembusi keseluruhan Banjaran Paru Paru Dunia.

"Saya berharap misi kali ini berjalan lancar dan dapat disempurnakan mengikut sasaran. Saya mempersiapkan diri dengan latihan kecergasan, pendakian dan berbasikal untuk persediaan misi ini," katanya yang menerima beberapa penajaan termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Untuk rekod, ekspedisi pertama Khairil Aslan melakukan pendakian ke Banjaran Paru Paru Dunia selama 25 hari iaitu mendaki melalui Barat Daya hingga ke Selatan Banjaran Paru Paru Dunia pada 2015 dan yang kedua pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 4:21 PM