NAS-T bersama bayi perempuannya Nas Taliyah.
NAS-T bersama bayi perempuannya Nas Taliyah.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Nas-T kini bergelar bapa selepas isterinya, Atita Haris selamat melahirkan anak sulung mereka, Nas Taliyah di pusat perubatan di Johor Bahru, semalam.

Bayi perempuan seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan secara normal pada jam 12.08 tengah hari.

Nas-T, 33, atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin berkata, dia bersyukur apabila semuanya selamat dan seolah-olah tidak percaya dapat memegang anaknya sendiri.

Nas-T yang juga DJ dalam program Meletop Kebaboom berkata, dia berada di samping isterinya sepanjang proses kelahiran itu.

“Dari Atita mula dimasukkan ke wad bersalin, saya ada bersamanya dan menyaksikan sendiri proses kelahiran itu. Rasa seperti tak percaya kini saya sudah bergelar bapa,” katanya.

Bercerita mengenai nama anaknya, Nas dan isterinya sudah lama melakukan sedikit kajian untuk nama yang sesuai buat puteri mereka.

“Nas Taliyah membawa maksud ‘yang membaca Al-Quran dan yang mengikuti’. Saya dan Atita sudah membuat kajian awal lagi untuk nama ini dan maksudnya juga baik,” katanya.

Atita yang juga selebriti media sosial dan ahli perniagaan itu akan berpantang di kediaman ibu bapanya di Johor Bahru selama seminggu sebelum pulang ke Subang Jaya.

“Kami akan berada di sini (Johor Bahru) selama seminggu. Memang keluarga di sini pun semua nampak teruja dan saling bertukar tangan untuk menjaga si kecil ini.

“Selepas ini, kami akan pulang dan teruskan proses berpantang di kediaman kami yang terletak di USJ, Subang Jaya,” katanya.

Pasangan ini berkahwin pada 29 Januari lalu dalam satu majlis tertutup di Subang Jaya.

Ini adalah cahaya mata pertama buat Nas-T, manakala yang kedua buat Atita yang juga ibu kepada Nur Sofia, 4, hasil perkahwinan keduanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 4:39 PM