DJ Nast-T dan Atiqah akan bersanding pada 4 Mac depan. Foto Syafil Syazwan Jefri
DJ Nast-T dan Atiqah akan bersanding pada 4 Mac depan. Foto Syafil Syazwan Jefri
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara DJ Nast-T, 32, mengakui sudah melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihannya Nur Atiqah Haris, 24, Jumaat lalu di Subang Jaya, Selangor.

Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar mendedahkan perkara itu dalam sidang media yang diadakan di Bangi, Selangor, hari ini.

Menurut Nas-T, majlis pernikahan mereka yang diadakan secara tertutup di Surau Al-Ikhlas, SS19, Subang Jaya itu hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak tanpa kehadiran media.

"Pada awalnya, kami merancang untuk bernikah pada 4 Mac depan. Namun, selepas menghadiri kursus perkahwinan, ia mula heboh diperkatakan. Jadi keluarga kami mencadangkan supaya majlis nikah dipercepatkan.

"Majlis persandingan tetap akan diadakan pada 4 Mac nanti dan rakan-rakan media dijemput hadir," katanya.

Pasangan ini berkenalan sejak enam bulan lalu di sebuah majlis.

"Dalam tempoh enam bulan ini, kami dapat mengenali isi hati masing-masing. Bagi saya, Atiqah ialah wanita terbaik buat saya," katanya.

Sementara itu, Atiqah berkata, suaminya itu ialah seorang lelaki yang sangat menghormati wanita.

Ini ialah perkahwinan kedua Atita yang mempunyai seorang anak perempuan, Nur Sofia Hazrul Fadli, 4, hasil perkahwinan pertamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 8:03 PM