PUAS jadi jurulatih, kini mahu cuba nasib dalam sukan diminati.
PUAS jadi jurulatih, kini mahu cuba nasib dalam sukan diminati.
Syafil Syazwan Jefri


Pelakon dan DJ berbakat besar, Nas-T kini mula melangkah setapak lagi dalam sukan bina badan.

Sejak dua tahun lalu, Nas-T mula sibuk mendapatkan bentuk badan menarik bagi melayakkannya menyertai pertandingan sukan itu.

Nas-T berkata, objektif utamanya menyertai bidang itu bukanlah untuk mencipta nama semata-mata, tetapi lebih kepada kepuasan diri.

“Populariti itu saya letak ke tepi kerana objektif utama adalah untuk mencabar diri dan melihat tahap mana yang saya mampu capai dalam sukan ini.

“Jika sebelum ini saya hanya menjadi jurulatih kecergasan untuk atlet sukan bina badan, kini saya sendiri mencuba nasib,” katanya.

Ditanya sama ada dia masih aktif dalam lakonan, Nas-T yang juga DJ dalam program Meletop Kebaboom itu mengakui masih aktif.

“Memang saya masih aktif, cuma jiwa saya lebih kepada filem. Saya bermula daripada filem dan lakonan terakhir saya adalah dalam filem Ngorat bersama Aaron Aziz dan Erra Fazira.

“Kalau ada rezeki dan tawaran untuk berlakon filem, saya akan pertimbangkan,” katanya.

Terbaru, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama bersiri 20 episod berjudul Cinta Roller Coaster.

Tidak hanya aktif menyertai pelbagai pertandingan bina badan, Nas-T juga turut diambil untuk menjadi duta produk makanan kesihatan.

“Alhamdulillah, saya anggap ini sebagai rezeki selepas berumah tangga. Ada produk yang mengambil saya sebagai duta dan menaja untuk beberapa pertandingan,” katanya.

Selain itu, Nas-T bersama isteri, Atita Haris dan anak mereka, Nur Sofia turut dipilih menjadi duta untuk koleksi pakaian sempena Aidilfitri.

“Saya suka juga berfesyen, tetapi tidaklah terlalu obses. Namun, selepas berkahwin Atita banyak ‘menarik’ saya untuk meminati dunia fesyen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 11:51 AM