NAS- T jadi salah seorang pelakon dalam filem The Original Gangster arahan Syamsul.
NAS- T jadi salah seorang pelakon dalam filem The Original Gangster arahan Syamsul.
Norhayati Nordin


Bertahan dalam karier hiburan untuk tempoh 15 tahun pastinya bukan perkara mudah.

Namun, bagi pelakon, DJ dan pengacara, Nas-T, 39, dia bersyukur kerana bakatnya hingga kini terus diterima.

Apatah lagi, selepas bergelar suami dan bapa kepada tiga anak, pelakon aksi terkenal dalam filem ini mengakui kehidupannya lebih tenang tanpa dihambat gosip dan kontroversi.

Nas- T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin berkata, faktor usia yang meningkat dan status sebagai lelaki sudah berkeluarga juga menyebabkan dia semakin matang. Fokus utamanya kini adalah karier.

"Sebenarnya, sejak dulu pun saya jarang terpalit gosip dan kontroversi. Kalau ada pun hanya sesekali dan itu lumrah sebagai anak seni. Bagi saya, ia (gosip) juga memberi saya pengalaman dan pelajaran pada diri sendiri.

"Apapun, saya bersyukur hingga kini bakat lakonan masih diterima. Walaupun bukan sebagai watak utama dan hanya pembantu, saya tetap gembira untuk melakonkan dengan baik," katanya.

Nas- T yang muncul dengan filem Air Force The Movie : Selagi Bernyawa pada 25 Ogos lalu yang berjaya mencatat kutipan 'box-office' lebih RM20 juta, kini membintangi filem The Original Gangster arahan Syamsul Yusof pula.

Mengulasnya, Nas- T berkata, dia dan Syamsul adalah sahabat dan sudah kenal lama.

Bagaimanapun, sekarang baharu dia mendapat peluang untuk mereka bekerjasama dalam filem dan teruja untuk bekerja di bawah arahan Syamsul.

"The Original Gangster adalah filem pertama saya bekerja dengan Syamsul. Kami kenal dan berkawan dah lama, tapi rezeki Allah untuk kerjasama ini, baru sekarang menjadi milik saya.

"Saya teruja kerana yakin dengan filem sentuhan Syamsul. Dia pengarah filem yang berkaliber dan tahu ke mana arah tuju karyanya. Jenama filem Syamsul juga sudah dikenali dan diyakini ramai," katanya.

Nas-T berkata, lebih menarik lagi untuk filem The Original Gangster itu adalah jalan ceritanya. Ia juga filem aksi yang padat sebagaimana pernah dimaklumkan oleh Syamsul sebagai termahal dan terhebat.

Ditanya vmengenai dirinya yang 'pakar' melakonkan aksi lagak ngeri sendiri, Nas-T berkata, tidak mudah untuk menjadi pelakon lagak ngeri. Ini kerana seseorang pelakon perlu mendapatkan latihan dalam seni mempertahankan diri.

"Saya pun jalani latihan dulu agar memahami mengenai aksi yang nak dibuat. Ini kerana apabila pelakon bersetuju nak buat aksi lasak sendiri, itu bermakna kita sanggup risikokan diri. Jadi, kena ada ilmu, pengalaman dan insurans peribadi," katanya.

Nas- T berkata, bagi pelakon yang kurang yakin untuk membuat aksi sendiri harus berhati-hati.

Katanya, jika tidak berasa amat gementar hendak melakukannya, usah ambil risiko kerana pihak produksi juga sudah menyediakan pelakon lagak ngeri di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 6:50 AM