Nas Muammar Zar Nasruddin atau lebih dikenali sebagai Nas-T, diumumkan sebagai Keluang Man ketika Sidang Media memperkenalkan barisan pelakon filem Keluang Man di The Bee@Publika, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nas Muammar Zar Nasruddin atau lebih dikenali sebagai Nas-T, diumumkan sebagai Keluang Man ketika Sidang Media memperkenalkan barisan pelakon filem Keluang Man di The Bee@Publika, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Teka-teki peminat siri animasi popular, Keluang Man akhirnya terjawab apabila Nas-T diumumkan sebagai pelakon utama versi filemnya.

Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar yang dipilih berdasarkan video uji bakat yang dihantar kepada Astro Shaw beberapa bulan lalu mengakui, dia terasa kerdil jika dibandingkan dengan nama-nama besar lain yang turut melalui proses uji bakat.

"Saya masih gementar dan masih tak percaya dipilih sebagai pelakon utama. Memang saya akui prosesnya sangat sukar di mana uji bakat melalui empat fasa.

"Memang ramai pelakon hebat turut mencuba nasib. Saya sama sekali tidak menyangka dipilih sebagai pelakon utama siri animasi yang ikonik ini. Saya rasa sangat kerdil," katanya.

Pelakon-pelakon filem Keluang Man diumumkan pada majlis sidang media memperkenalkan watak utama filem itu di sebuah pusat belah-belah di sini, hari ini.

Selain Nas-T, turut diumumkan tiga watak utama lain iaitu Shamsir yang dilakonkan Remy Ishak, Ahmad (Datuk Rosyam Nor) dan Inspektor Sahab (Anwar Beg Mughal).

Filem itu diarahkan oleh pencipta bersama trilogi filem Polis Evo yang juga pengarah siri popular Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM iaitu Anwari Ashraf yang turut bertindak sebagai penulis skrip.

Filem terbabit kini dalam fasa pra-produksi dan sesi penggambaran dijangka bermula April tahun depan.

Keluang Man adalah siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan berjaya mencipta fenomena tersendiri serta menjadi kebanggaan Malaysia.

Filem ini dijangka ditayangkan pada 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 9:56 PM