PEMAIN Malaysia Cougars B-14, Harith Naem Jaineh (kiri) diasak pemain Kawasaki Frontle, Ryota Kamihashi. FOTO Osman Adnan
PEMAIN Malaysia Cougars B-14, Harith Naem Jaineh (kiri) diasak pemain Kawasaki Frontle, Ryota Kamihashi. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad kendalian Lim Teong Kim meneruskan rentak cemerlang pada saingan Piala Supermokh 2016 apabila melakar kemenangan kedua dalam kumpulan C selepas mudah menumbangkan kelab Jepun, Kawasaki Frontale 4-0 di Padang D Majlis Sukan Negara (MSN), awal pagi tadi.

Kemenangan itu adalah yang kedua buat pasukan bawah 14 (B-14) tahun Malaysia Cougars selepas semalam berjaya meraih tiga mata pertama dengan mengalahkan skuad B-14 Bangladesh 1-0 di venue yang sama.

Ia juga meletakkan skuad utama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu menempah laluan ke suku akhir lebih awal selepas mencatatkan enam mata untuk memimpin carta kumpulan.

"Hari ini pemain beraksi lebih baik dari semalam dan rangkaian penyerang kita lebih menyengat pada aksi kedua ini.

"Untuk aksi ketiga esok (menentang kelab Indonesia, Saswco FC) kemungkinan kita akan beri peluang kepada pemain lain dan rehatkan beberapa tonggak utama," kata penolong jurulatih Malaysia Cougars (B-14), Raja Azlan Shah Raja Soib kepada Arena Metro, hari ini.

Sementara itu, nasib berbeza dialami dua wakil negara Malaysia Tigers (B-14) dan Malaysia Panthers (B-14) apabila tumbang kepada lawan masing-masing dalam aksi kedua sebentar tadi.

Malaysia Panthers yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail tewas kepada kelab gergasi Eropah, Paris Saint Germain (PSG) 1-3 dalam aksi kumpulan E manakala pasukan Malaysia Tigers yang berada dalam kumpulan D dibelasah Sao Paulo FC dari Brazil dengan 0-4.

Sementara itu, dalam kategori B-12 pasukan Malaysia Cougars mengekalkan aksi konsisten dengan mencatat kemenangan kedua ke atas Foolad Mobarakeh Sepahan (kelab Iran) menerusi keputusan 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 4:17 PM