MALAYSIA B-14 akan turun berdepan Buriram United pada aksi suku akhir, hari ini.
MALAYSIA B-14 akan turun berdepan Buriram United pada aksi suku akhir, hari ini.

Kuala Lumpur: Skuad bawah 14 (B-14) Malaysia Cougars kendalian Lim Teong Kim hanya membawa satu misi apabila turun berdepan Buriram United dari Thailand pada aksi suku akhir kejohanan Piala Supermokh 2016 hari ini iaitu menang.

Penolong pengendali B-14 Malaysia Cougars, Raja Azlan Shah Raja Soib menegaskan nasib skuad elit Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu terletak di tangan mereka sendiri dan pemain tidak harus melepaskan trofi yang menjadi rebutan.

“Nasib pasukan terletak di tangan kami sendiri dan apa yang perlu kami lakukan adalah berjuang habis-habisan untuk mencatat kemenangan ke atas Buriram United nanti.

“Pemain perlu fokus dan ikut arahan serta taktikal yang sudah diatur bagi menjamin kemenangan kepada pasukan. Biarpun lawan yang kita hadapi agak kuat, ini peluang kepada pemain untuk buktikan sesuatu di depan penyokong sendiri.

“Saya harap inspirasi ketika kami memenangi Piala Iber di Portugal tahun lalu mampu diulangi kerana pasukan ini adalah pasukan sama yang menjulang kejuaraan itu,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Bagaimanapun, Raja Azlan turut mengingatkan pemain agar tidak terlalu leka kerana dikhuatiri ia akan memakan diri.

Baginya, permainan pantas dan terbuka yang diamalkan akademi dari Thailand itu perlu diberi tumpuan sepenuhnya sepanjang 70 minit aksi itu nanti.

Dalam undian sama, satu lagi wakil negara, skuad B-14 Malaysia Panthers yang dibimbing Wan Rohaimi Wan Ismail bakal ditentang kelab terkemuka Portugal, Sporting CP.

Selain itu, Paris Saint Germain (PSG) dijadualkan berdepan FC Bunyodkor manakala Sao Paulo dari Brazil pula bertemu kelab Korea Selatan, FC Seoul dalam aksi suku akhir yang semuanya berlangsung serentak hari ini.

Bagi jadual suku akhir B-12 tahun pula, Sporting CP akan menentang Malaysia Panthers sementara akademi dari Korea Selatan, Guri Junior pula bakal berdepan Malaysia Tigers.

Pasukan Australia Selatan pula dijadual bertemu satu lagi wakil Korea Selatan, Gimpo JIJ manakala kelab China, Evergrande FS bakal turun berhadapan pasukan tuan rumah, Malaysia Cougars.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 5:58 AM