PEMAIN Bangladesh Miraj Molla  (kanan) menanduk bola ke arah pintu gol Malaysia.
PEMAIN Bangladesh Miraj Molla (kanan) menanduk bola ke arah pintu gol Malaysia.

Kuala Lumpur: Biarpun berjaya melepasi ujian pertama pada aksi pembukaan dalam saingan Piala Supermokh 2016, skuad utama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Malaysia Cougars bawah 14 (B-14) tahun beraksi agak pincang dan nyaris dikejutkan pasukan B-14 Bangladesh dalam aksi Kumpulan C semalam.

Pada aksi yang berlangsung di padang D Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, skuad kendalian Lim Teong Kim sekadar meraih kemenangan tipis 1-0 biarpun dihujani ‘sedozen’ peluang untuk menjaringkan gol.

Ketumpulan jentera serangan jelas mengecewakan kem negara yang turut dikongsi puluhan penyokong tuan rumah yang hadir bagi memberi sokongan.

Menurut penolong jurulatih Malaysia Cougars (B-14), Raja Azlan Shah Raja Soib, corak permainan pasukan pelawat yang begitu agresif mengganggu rentak permainan anak buahnya terutama pada babak pertama.

“Kami agak tertekan pada separuh masa pertama kerana pelawat bermain agak agresif. Namun pada babak kedua, kami bermain lebih mudah dan akhirnya berjaya mendapatkan gol yang dicari-cari.

“Walaupun kemenangan ini agak tipis, tetapi ia petanda baik bagi pasukan sebelum turun beraksi menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale yang saya percaya lebih mencabar,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dalam aksi itu, Malaysia Cougars (B-14) yang dilatih Teong Kim dipaksa bekerja keras sepanjang perlawanan dan hanya berjaya menemui jaringan pada minit ke-55 menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Mohammad Alias.

Sementara itu, dalam aksi kumpulan B, juara bertahan Manchester City (England) tewas kepada wakil Korea Selatan, FC Seoul menerusi keputusan 1-4 manakala Buriram United (Thailand) membelasah satu lagi pasukan negara, Malaysia Cougars (B-13) 5-0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 8:38 AM