LUQMAN (kanan) menguis bola menewaskan penjaga gol Yokohama.
LUQMAN (kanan) menguis bola menewaskan penjaga gol Yokohama.
 Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Malaysia Cougars meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala SuperMokh apabila mengekalkan rekod bersih menumpaskan Yokohama FC 2-0 di Padang D Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil semalam.

Kemenangan berkenaan mengesahkan Cougars yang juga skuad utama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) mara ke suku akhir.

Cougars yang muncul juara Kumpulan E harus berterima kasih kepada penyerang mereka, Luqman Hakim Shamsudin yang menjaringkan kedua-dua gol itu pada minit ke-37 dan 63 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal PPBN Lim Teong Kim tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya semalam walaupun mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Kalau hendak komen perlawanan hari ini (semalam), saya boleh katakan ini paling teruk. Memang bagi kamu (wartawan) kemenangan sangat penting tapi cara kita menang bukan dengan mempamerkan permainan terbaik,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, pemain mempamerkan kualiti permainan rendah dan berharap mereka akan kembali menunjukkan aksi terbaik pada suku akhir nanti.

“Mereka perlu bangkit selepas ini. Banyak kesilapan dilakukan terutama empat pemain yang baru diturunkan dalam kesebelasan utama hari ini (semalam). Saya masih marah dengan prestasi mereka. Kemenangan adalah matlamat terakhir, paling penting cara permainan bola sepak yang bagus.

“Ini permainan bola sepak jaguh kampung yang caranya harus ditukar. Saya tidak mahu corak permainan seperti ini. Pemain harus berjuang bermati-matian seperti mana ditunjukkan Luqman dan Mohammad Alias Alan,” kata Teong Kim.

Selain Cougars satu lagi skuad bawah 13 tahun (B-13) PPBN yang mara ke suku akhir ialah Malaysia Tigers selepas membelasah Sepahan dari Iran 4-0 namun Malaysia Panthers terkandas selepas tumpas 0-1 kepada Kashiwa Reysol dari Jepun semalam.

Bagi kategori B-12, Malaysia Panthers berjaya menumpaskan Seoul Jamwon 5-1 dan Malaysia Cougars pula menumpaskan satu lagi pasukan Korea Selatan, Seoul Shindap 3-1. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:49 AM