ANGGOTA keselamatan dan bomba memeriksa tempat kejadian.
ANGGOTA keselamatan dan bomba memeriksa tempat kejadian.
AP

Istanbul: Seramai 11 orang termasuk tujuh anggota polis maut manakala 36 yang lain cedera semalam akibat letupan bom kereta menyasarkan bas yang membawa mereka ketika waktu puncak di Istanbul, semalam.

Gabenor Istanbul, Vasip Sahin yang ditemui di tempat kejadian di Beyazit berkata, empat lain yang maut adalah orang awam dengan tiga yang cedera dalam keadaan parah.

Kejadian berlaku di simpang yang sibuk berhampiran bangunan Universiti Istanbul memaksa pihak berkuasa membatalkan peperiksaan yang sedang berlangsung.

Vasip berkata, letupan disebabkan bom diletakkan dalam kereta yang diletupkan menggunakan alat kawalan jauh ketika bas polis itu lalu di situ.

Bas polis itu terbalik akibat letupan yang turut merosakkan bangunan berhampiran termasuk hotel yang pintu masuknya musnah selain tingkap pecah.

Beberapa kereta juga musnah dalam kejadian itu.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini namun empat orang ditahan untuk membantu siasatan.

Pemberontak Parti Pekerja Kurdistan (PKK) menyasarkan anggota tentera dan polis sejak Julai tahun lalu susulan kegagalan rundingan antaranya dengan kerajaan.

Pada masa sama, Daish juga melaksanakan beberapa pengeboman di Turki.

Kira-kira 500 anggota keselamatan Turki terbunuh dalam serangan atau konflik dengan pemberontak Kurdis, kata tentera yang turut mendakwa membunuh 4,900 anggota PKK dalam pelbagai operasi di negara itu dan utara Iraq.

PKK menuntut pemerintahan autonomi untuk orang Kurdis di tenggara Turki.

Pemberontak berdekad lalu terhadap Turki itu setakat ini meragut 40,000 nyawa.

Kumpulan itu juga dianggap organisasi pengganas oleh Turki dan sekutunya.

Bulan lalu, lapan orang cedera di Istanbul akibat bom kereta yang menyasarkan kenderaan tentera berhampiran pintu masuk ke garison tentera ketika waktu puncak lewat petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 8:50 AM