ANGGOTA polis berpakaian preman menahan penunjuk perasaan terdiri daripada penyokong PKK yang membantah tindakan Turki menyerang kedudukan kumpulan Kurdis itu di  Istanbul, semalam.
ANGGOTA polis berpakaian preman menahan penunjuk perasaan terdiri daripada penyokong PKK yang membantah tindakan Turki menyerang kedudukan kumpulan Kurdis itu di Istanbul, semalam.
Agensi

Ankara : Jet penggempur Turki semalam mengebom kem militan Kurdis di utara Iraq, serangan pertama sejak perjanjian damai 2013.

Pada masa sama, Ankara turut melancarkan serangan terhadap kedudukan Negara Islam (IS) di Syria.

Serangan di Iraq menyasarkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang sekutunya terbabit dalam pertempuran dengan IS.

Tindakan itu dijangka merumitkan lagi perang yang diketuai Amerika Syarikat (AS) terhadap kumpulan berkenaan.

AS bergantung kepada militia Kurdis untuk menumpaskan IS di Iraq dan Syria.

Jurucakap PKK di Iraq berkata, serangan itu secara tidak langsung menamatkan perjanjian damai 2013.

PKK memerangi Turki untuk mendapatkan kuasa autonomi sejak 1984.

Ia dianggap pertubuhan pengganas oleh Ankara dan sekutunya.

“Serangan Turki itu pada asasnya menamatkan gencatan senjata,” kata Zagros Hiwa.

Menurutnya, PKK masih memeriksa kesan serangan berkenaan walaupun ia tidak menyebabkan banyak kematian.

Dalam satu kenyataannya, pejabat Perdana Menteri Turki berkata, serangan itu menyasarkan kubu dan kawasan logistik PKK, khususnya di kawasan pergunungan Qandil, tempat terletaknya pusat pemerintahan PKK.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut secara khusus sasaran IS yang di serang semalam.

Menurut sumber kerajaan, tentera juga mengebom kedudukan IS dan PKK di Syria dari seberang sempadan.

Ketegangan dengan etnik Kurdis memuncak selepas serangan pengebom berani mati di Suruc, bandar di tenggara Turki Isnin lalu yang menyebabkan 32 orang terbunuh.

Kumpulan Kurdis menuduh kerajaan Turki bertanggungjawab kerana tidak melancarkan serangan terhadap IS.

Beberapa hari kemudian, PKK mengaku membunuh dua polis Turki berhampiran Sanliurfa, bandar berhampiran sempadan Syria yang majoriti penduduknya etnik Kurdis.

Turki mula menyerang kedudukan IS selepas serangan berani mati dan serang hendap kumpulan itu yang menyebabkan seorang tentera terbunuh.

Kelmarin, tiga jet pejuang F-16 mengebom kedudukan kumpulan itu, termasuk dua markas pemerintahan dan sebuah pos pengumpulan maklumat berhampiran sempadan Turki di Syria.

Sembilan anggota IS terbunuh dalam serangan berkenaan.

IS bagaimanapun tidak mengulas mengenai serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:03 AM