ALIAS Alan (kiri) mengawal bola walaupun diasak pertahanan Buriram United.
ALIAS Alan (kiri) mengawal bola walaupun diasak pertahanan Buriram United.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 14 (B-14) Malaysia Cougars yang dibimbing Lim Teong Kim menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Piala Supermokh 2016 selepas berdepan saingan sengit kelab Thailand Buriram United pada aksi suku akhir di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, pagi tadi.

Anak buah Teong Kim merakam kemenangan 3-1 dalam aksi yang cukup menghiburkan.

Pada aksi itu, skuad cilik negara dikejutkan dengan gol awal pelawat pada minit ke-6 menerusi Jiramet Janngam. Jaringan itu jelas menyuntik semangat pemain negara dan hasilnya Alif Daniel Aziz bangkit menyumbat dua gol (minit ke-15 dan 33) sebelum Muhammad Amirul Ashrafiq Hanifa mencetak gol ketiga negara (minit ke-43).

“Pasukan lawan memberi saingan cukup bermakna kepada kami dengan jentera serangan menghadapi masalah memasuki kubu mereka.

“Namun dengan sikap tenang dan semangat untuk menang, pemain akhirnya memperbaiki persembahan dan kami meraih tiga gol sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir esok (hari ini),” kata penolong pengendali B-14 Malaysia Cougars Raja Azlan Shah Raja Soib semalam.

Berikutan kemenangan itu, skuad elit Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu akan menentang FC Bunyodkor dari Uzbekistan hari ini bagi mencari slot ke pentas final, esok.

Terdahulu, FC Bunyodkor mengejutkan kelab Perancis, Paris Saint Germain (PSG) menerusi kemenangan sepakan penalti 10-9 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini, bakal menemukan Sporting CF dari Portugal dan kelab Brazil, Sao Paulo.

Sementara itu, bagi kategori B-12, dua wakil negara bakal meneruskan perjuangan mereka untuk merebut kejuaraan itu dengan Malaysia Tigers berdepan pasukan pilihan, Sporting CF di padang sintetik MSN Bukit Jalil pagi ini.

Juara bertahan Malaysia Cougars pula bakal membuat perhitungan di separuh akhir bertemu wakil Korea Selatan Gimpo JIJ di venue sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:04 AM