Pauziyah dan Mahani antara dua mangsa yang maut. - Foto Rosli Ilham
Pauziyah dan Mahani antara dua mangsa yang maut. - Foto Rosli Ilham

Chukai: Pesara kerajaan Ahmad Razi Abd Rahman, 63, dan isterinya, Pauziyah Awang, 56, serta cucu mereka Sofea Adriana Shahruddin, 7, antara tiga mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai, petang tadi.

Selain itu, turut terbunuh, isteri pemandu Hyundai Starex Mahani Ngah, 42, (adik ipar Ahmad Razi) serta dua anaknya, Quratulnisa Ahmad Nasar, 11, dan Ahmad Nijat, 9.

Selain Mahani yang meninggal dunia di Hospital Kemaman pada 8.15 malam tadi, semua mangsa yang lain maut di tempat kejadian.

Ahmad Nasar, 52, yang memandu kenderaan serta tiga anaknya, Quratul Ain, 14; Ahmad Shakir, 12, dan Ahmad Mukriz, 3, cedera dalam kemalangan itu.

Berdasarkan kad pengenalan, Ahmad Razi, Pauziyah dan Sofea beralamat di Jalan Bawal Tiga 17/3C, Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, manakala Mahani pula beralamat Lorong Haji Yaakub, Kampung Guar, Kodiang, Kedah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Norman Shah Din mengesahkan identiti kesemua mangsa terbabit.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, MPV berkenaan dikatakan dari arah Kuantan menuju Kuala Terengganu, terbabas dan merempuh besi penghadang jalan sebelum menghentam tiang jejambat

Menurut polis, kejadian menyebabkan beberapa mangsa tercampak keluar dan lima mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 10:04 PM