Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Tiga jenazah daripada enam mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Jenazah Ahmad Razif Abd Rahman, 63, isterinya, Pauziyah Awang, 56, serta cucu mereka, Sofea Adriana Shahruddin, 7, dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan berkenaan.

Sebelum itu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Amin, Seksyen 17, selepas solat Zohor sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu.

Jenazah tiba di sini dari Terengganu kira-kira jam 11.40 pagi, disambut lebih 100 hadirin, termasuk ahli keluarga, saudara mara, jiran serta kenalan.

Solat jenazah diimamkan anak keempat Ahmad Razif, Ahmad Afandi, 28.

Dalam kemalangan di Kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai, petang semalam, enam maut manakala empat lagi cedera.

Kejadian berlaku selepas kenderaan dipandu adik Ahmad Razif iaitu Ahmad Nasal, 52, menuju Kuala Terengganu, terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dan tiang jejambat.

Tiga lagi mangsa yang maut ialah Mahani Ngah, 42, (isteri Ahmad Nasal) serta dua anaknya, Quratulnisa, 11, dan Ahmad Nijat, 9.

Jenazah Mahani, Quratulnisa dan Ahmad Nijat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Guling, Marang, kira-kira 11.30 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 5:16 PM
Jenazah mangsa dibawa turun ke dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. - Foto MUHAMMAD SULAIMAN
Jenazah mangsa dibawa turun ke dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam. - Foto MUHAMMAD SULAIMAN