Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan peningkatan 10 peratus jualan eksport keseluruhan bagi Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera dan Wanita (BWEDP) dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sepanjang 2016, program yang disertai syarikat Malaysia itu menjana jualan eksport RM50.78 juta dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti China, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Oman, Jepun dan Singapura.

Pengerusi MATRADE, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya percaya sasaran itu mampu dicapai berdasarkan jaringan rangkaian dan bilangan pasaran yang ditembusi syarikat di bawah program terbabit.

“Berdasarkan rekod, syarikat di bawah program Bumiputera dan Wanita ini mencatatkan jumlah jualan eksport yang baik dan mencapai sasaran ditetapkan iaitu 20 peratus dan penembusan ke dua pasaran eksport baru,” katanya pada media selepas Program Hari Graduasi Syarikat BWEDP sesi pengambilan 2012 dan 2013 di sini, semalam.

Majlis itu menyaksikan MATRADE meraikan 36 syarikat Malaysia yang berjaya menjalani program BWEDP di mana ia terdiri daripada 18 syarikat Bumiputera dan 18 (syarikat wanita).

BWEDP adalah program pembangunan kapasiti tiga tahun anjuran MATRADE yang mula diperkenalkan pada 2004 bagi membantu syarikat Bumiputera dan Wanita supaya menjadi lebih berdaya saing dalam menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, syarikat yang terbabit dalam program itu dinilai daripada aspek keupayaan dan kesediaan eksport, pengurusan syarikat serta kapasiti kewangan.

Sejak dilancarkan, 287 syarikat Bumiputera dan wanita menerima manfaat daripada program BWEDP di mana ia membabitkan penyertaan dalam pelbagai sektor seperti minyak dan gas, makanan dan minuman, gaya hidup dan lain-lain.

“Kami berharap selepas menyertai BWEDP, syarikat ini mampu menggembleng tenaga dan mengorak strategi yang efektif untuk berjaya sebagai seorang pengeksport,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 7:27 AM