DATUK Mohamed Azmin Ali. FOTO Aizuddin Saad
DATUK Mohamed Azmin Ali. FOTO Aizuddin Saad
Amir Abd Hamid


SEBANYAK RM1.1 bilion hasil jualan dijana membabitkan 192 syarikat Bumiputera menerusi Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera (BEDP) sejak diperkenalkan pada 2004.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program itu membantu pengeksport dalam kalangan Bumiputera menerokai pasaran luar negara.

Menurutnya, ia termasuk mengeluarkan produk halal yang berkualiti melalui penyertaan dalam aktiviti promosi eksport sepanjang tempoh program berkenaan.

"Program BEDP dilaksanakan oleh kerajaan sebagai satu daripada usaha kerajaan memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera di samping terus memberikan tumpuan kepada program promosi dan pembangunan pengeksport.

"Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) terus memberikan tumpuan kepada program promosi dan pembangunan pengeksport yang bertujuan memberi pendedahan, bantuan dan khidmat nasihat kepada syarikat Bumiputera.

"Syarikat Bumiputera yang berjaya menyertai program ini akan diberi bimbingan dan khidmat nasihat merangkumi perkara berkaitan peningkatan eksport.

"Penyertaan mereka dalam aktiviti promosi eksport turut dibiayai meliputi kos yuran penyertaan, tiket kapal terbang dan penginapan sepanjang aktiviti berlangsung," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong berkaitan kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin (Bersatu-Gombak) memberitahu Dewan Rakyat sebanyak 2,794 projek sudah dilaksanakan membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM208.5 bilion sejak 2015 hingga 2019.

Katanya, projek berkenaan sudah menjana 214,969 pekerjaan terdiri daripada 160,478 (75 peratus) pekerja tempatan dan 54,491 (25 peratus) pekerja asing, di samping sebanyak 22,022 atau 10.2 peratus pekerjaan dikategorikan sebagai berpendapatan tinggi yang menerima gaji bulanan sekurang-kurangnya RM5,000.

"Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sudah melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya mengenakan syarat jumlah guna tenaga sepenuh masa sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Malaysia untuk kelulusan Lesen Pengilang dan pemberian insentif.

"Syarat guna tenaga ini turut meliputi nisbah kakitangan pengurusan, teknikal dan penyeliaan sebanyak 25 peratus.

"Sementara itu, bagi projek berimpak tinggi, syarikat turut dikenakan syarat untuk melaksanakan latihan industri dengan universiti tempatan serta keperluan untuk menyediakan latihan atau menetapkan jumlah pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan.

"Beberapa inisiatif bagi menggalakkan pembangunan bakat tempatan turut dilaksanakan oleh Mida seperti 'Mida Apprenticeship Programme', kerjasama bersama Persatuan Pengilang Malaysia dan Kementerian Pendidikan serta kerjasama atau perkongsian pintar dengan pihak berkepentingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 3:24 PM