USAHAWAN Bumiputera mempunyai potensi luas di pasaran asing.
USAHAWAN Bumiputera mempunyai potensi luas di pasaran asing.
Hafiz Ithin

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berharap penyertaan Bumiputera dalam pasaran eksport mampu mencapai antara 25 hingga 35 peratus tahun ini berbanding 18 hingga 20 peratus tahun lalu memandangkan pasaran asing memberi pelbagai faedah untuk meningkatkan perniagaan golongan itu.

Kerjasama dengan pelbagai dewan dan persatuan perniagaan atau perdagangan Bumiputera juga dilihat mampu meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran eksport terutama membabitkan kesedaran dan peluang yang boleh diterokai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, antara faktor kurangnya penyertaan golongan Bumiputera dalam pasaran asing disebabkan kurang kesedaran dan terdapat juga usahawan yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka.

Beliau berkata, usahawan Bumiputera mempunyai potensi meluaskan perniagaan ke peringkat lebih tinggi memandangkan produk atau perkhidmatan ditawarkan mempunyai permintaan di pasaran asing.

“Antara sektor yang ketika ini banyak disertai usahawan tempatan ialah e-dagang dan kesedaran mereka untuk menerokai peluang di pasaran asing masih lagi rendah, tetapi sektor itu mempunyai potensi besar untuk didagangkan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Antara program yang diperkenalkan MATRADE ialah Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera, Wanita dan Belia (BWEDP) iaitu program bimbingan selama tiga tahun bagi membangunkan usahawan Bumiputera menjadi lebih berdaya saing, berkeyakinan, profesional serta berupaya untuk mengenal pasti peluang di pasaran eksport.

Sejak BWEDP diadakan pada 2004 hingga 2014, sebanyak 144 syarikat milik Bumiputera mendapat bimbingan iaitu 31 syarikat masih berada di dalam program manakala selebihnya melengkapkan program tiga tahun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:06 AM