Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Bisnes HM

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merancang berhubung dengan 13,000 syarikat Malaysia menerusi 334 program pada 2021 bagi mengukuhkan daya saing eksport dalam tempoh pemulihan Covid-19.

Program merangkumi 277 program Pembangunan Pengeksport (ED) dan 57 program Penggalakkan Eksport (EP) itu akan menumpu untuk mewujudkan lebih banyak juara eksport dalam sektor bernilai tinggi, penggunaan platform digital, keterangkuman, memanfaatkan trend pasaran semasa dan menjalin kerjasama strategik.

Program ED khususnya memberi fokus melengkapkan syarikat dengan kemahiran membangunkan kelebihan strategik dan menggalakkan nilai kelestarian seperti digariskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, perbadanan itu akan memberi fokus membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa ketika tempoh mencabar.

Beliau berkata, di samping menyediakan pandangan terkini pasaran, Matrade akan menghubungkan pembeli asing dengan syarikat Malaysia menerusi 46 pejabat luar negara di seluruh dunia.

Katanya, dengan keadaan ekonomi global yang mencabar, Matrade sebagai agensi penggalakkan perdagangan nasional akan memastikan daya saing syarikat Malaysia dengan memperkasakan mereka dengan pengetahuan dan kecerdasan pasaran yang betul.

"Tahun 2021 akan menyaksikan Matrade menggandakan usahanya dengan alat digital untuk menyediakan lebih banyak peluang perniagaan bagi syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).

"Ini akan dilaksanakan menerusi pembabitan strategik dengan sektor awam dan swasta di Malaysia dan luar negara untuk mengenal pasti peluang eksport baharu dalam sektor konvensional dan baharu muncul," katanya dalam kenyataan.

Matrade bercadang untuk terus menambah nilai program utama ED iaitu eTRADE 2.0; Program Pembangunan Pengeksport Bumiputera, Wanita dan Belia (BWYEDP); Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) dan X-SEED.

Ia juga akan melengkapkan program ED dengan pelbagai program seminar dan latihan, serta persidangan utama MATRADE iaitu Hari Eksport Kebangsaan (NED).

Bagi program EP, sejumlah 57 program akan diadakan sepanjang tahun untuk meningkatkan prestasi eksport syarikat Malaysia ketika tempoh pemulihan Covid-19.

Program itu akan merangkumi penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa dan misi perdagangan (Misi Pemacu Eksport dan Misi Perdagangan & Pelaburan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 7:56 AM