Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis Malaysia mampu berada pada kedudukan 20 negara pengeksport terbesar di peringkat global menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif barunya Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, ketika ini Malaysia berada di kedudukan ke-23 di dunia sebagai negara pengeksport terbesar.

Beliau berkata, Malaysia berada di landasan tepat untuk memajukan lagi bidang eksport menerusi perkembangan perniagaan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang mencapai status syarikat multinasional.

“Tiga perkara penting yang perlu diberi fokus untuk mencapai peningkatan kedudukan sekarang adalah mengembangkan lagi sektor eksport dan meningkatkan pembabitan PKS di pasaran global.

“Selain itu, untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif dan berdaya saing, negara bukan sahaja perlu mengeskport produk, tetapi juga perkhidmatan,” katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik memegang jawatan itu di sini, semalam.

Dzulkifli yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE sudah berkhidmat selama 21 tahun dengan MATRADE dan jawatan baru itu berkuat kuasa 15 Jun 2015, bagi menggantikan Datuk Dr Wong Lai Sum yang bersara baru-baru ini.

Beliau juga berkhidmat selama 34 tahun dalam sektor awam bermula dari 1981 sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MITI) serta mendapat pendidikan dalam Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Malaya (1979).

Menurutnya, MATRADE sentiasa menyokong usahawan Malaysia bagi menembusi pasaran antarabangsa menerusi produk dan perkhidmatan yang berkualiti.

“Antara program yang MATRADE adakan bagi menyokong sektor eksport ini ialah e-Trade, Large Corp, Going Export (GOEX) dan Market Development Grant (MDG) serta kerjasama dengan institusi perbankan bagi tujuan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 19 peratus nilai eksport disumbangkan PKS dan dalam sasaran dijangka jumlah itu akan meningkat sebanyak 25 peratus menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 11:54 AM