Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya melepasi sasaran peningkatan nilai eksport syarikat peringkat pertengahan Malaysia sebanyak 20 peratus kepada RM120 juta menerusi Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, jumlah itu melebihi sasaran awal iaitu RM100 juta nilai eksport bagi program fasa pertama membabitkan 44 syarikat pertengahan.

Katanya, MATRADE yakin nilai itu akan berkembang dari masa ke semasa berikutan ia masih di peringkat awal yang mana pihaknya membuat pemantauan prestasi jualan keseluruhan, jualan eksport dan pertambahan pekerja yang dijalankan serta dipantau setiap suku tahun sehingga 2021.

“Sebanyak 44 MTC bagi Gelombang 1 berjaya menamatkan kursus pada Februari lalu dan meningkatkan jualan eksport masing-masing kepada RM120 juta dan peningkatan sebanyak 50 pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Selain itu, 60 peratus daripada MTC yang terbabit berjaya mengukuhkan keupayaan pemasaran, jualan dan pengetahuan strategi pasaran berpotensi, 30 peratus sudah memulakan program inovasi secara berstruktur untuk mengukuhkan keupayaan R&D dan 40 peratus membangunkan strategi pemasaran digital,” katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, daripada 10,000 syarikat MTC yang terdapat di Malaysia, Matrade menjangkakan program MTCDP ini dapat memberi faedah kepada 540 MTC sehingga tamat program pada 2021.

Dzulkifli berkata, menerusi MTCDP juga pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan 21,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan peningkatan eksport sebanyak RM6 bilion bagi lapan fasa dengan 50 hingga 80 MTC terpilih setiap tahun.

Beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan syarikat pertengahan Bumiputera di Sabah dan Sarawak serta dimiliki oleh wanita yang mempunyai hasil tahunan antara RM50 juta dan RM500 juta dalam sektor pembuatan dan antara RM20 juta serta RM500 juta dalam sektor perkhidmatan dan lain-lain untuk menyertai program ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:09 AM