Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasar untuk membantu lebih 700 syarikat tempatan menembusi pasaran China pada tahun ini berbanding kira-kira 600 syarikat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, langkah itu selari dengan matlamat MATRADE untuk memacu pembabitan lebih banyak syarikat tempatan terutama dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke pasaran bandar tahap kedua dan ketiga di China.

Menurutnya, peningkatan pembabitan syarikat tempatan itu turut dibantu kesedaran dan minat positif dari negara terbesar di Asia itu terhadap produk dan perkhidmatan dari Malaysia.

“Kami mahu PKS tempatan mengambil bahagian secara aktif dalam pasaran China melalui penghasilan lebih banyak produk yang inovatif dan pelaksanaan strategi pemasaran agresif untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena taklimat Pesta Makanan dan Minuman China 2017 (CFDF 2017) di sini, semalam.

Hadir sama Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia (Persatuan PKS) Datuk Michael Kang.

Bagi tempoh 11 bulan tahun lalu, nilai dagangan antara Malaysia dan China berjumlah RM216.27 bilion membabitkan eksport RM88.33 bilion, manakala import pula RM127.94 bilion.

Menurutnya, dalam perkembangan sama, MATRADE menjalinkan kerjasama dengan Persatuan PKS untuk membawa 100 usahawan PKS tempatan menyertai CFDF 2017 yang bakal berlangsung di Chengdu, China dari 22 hingga 25 Mac ini.

Beliau berkata, kerjasama kali pertama antara kedua-dua pihak itu bakal memberi peluang kepada PKS Malaysia untuk mempamerkan produk tempatan kepada pasaran China yang memiliki populasi berjumlah 1.3 bilion.

Katanya, MATRADE menyasarkan jualan RM200 juta melalui acara makanan dan minuman paling lama dianjurkan di China sejak dimulakan pada 1955.

“Saya menggesa lebih ramai pengeksport Malaysia menjalinkan kerjasama awam-swasta bagi memacu eksport tempatan ke negara rakan dagang terbesar Malaysia itu di mana ia dilihat akan terus memainkan peranan penting kepada perdagangan dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 8:19 AM