POKOK  durian meranapkan bahagian dapur rumah mangsa. FOTO ihsan Zulkefli Mohd Amin
POKOK durian meranapkan bahagian dapur rumah mangsa. FOTO ihsan Zulkefli Mohd Amin
ZULKEFLI melawat rumah mangsa. FOTO ihsan Zulkefli Mohd Amin
ZULKEFLI melawat rumah mangsa. FOTO ihsan Zulkefli Mohd Amin
Safuri Kamarudin


Baling: Empat beranak terselamat selepas rumah didiami mereka dihempap pokok durian dalam kejadian ribut, kira-kira 7 malam tadi.

Asri Abd Rani, 49, dari Kampung Paya Pekan Lama Pulai berkata, sebelum itu dia bersama isteri dan dua anak sedang menonton televisyen sementara menunggu azan Maghrib.

Bagaimanapun katanya, angin kencang secara tiba-tiba selama hampir 15 minit dan dia menjenguk keluar rumah kerana bimbang pokok di sekeliling rumah tumbang.

"Sebaik masuk ke dalam rumah semula, saya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur dan segera periksa. Alangkah terkejutnya apabila melihat sebatang pokok durian sebesar satu pemeluk meranapkan bahagian dapur.

"Pada masa sama saya menjerit mengarahkan anak dan isteri keluar rumah menyelamatkan diri kerana khuatir pokok lain di sekeliling rumah turut tumbang," katanya.

Katanya, sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa.

"Mujur kami selamat dan tidak cedera meskipun rumah rosak teruk. Buat sementara waktu kami akan menumpang di rumah saudara mara terdekat sehingga kerja membaik pulih rumah selesai," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling Zulkefli Mohd Amin berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku.

"Terkejut melihat rumah mangsa rosak teruk terutama di bahagian dapur saya segera membantu dan menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu memotong kayu yang menghempap rumah mangsa.

"Kita akan cuba sedaya upaya membantu keluarga ini untuk membaik pulih rumah yang rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 10:57 PM