PENDUDUK membantu Asmah untuk dibawa masuk ke dalam kenderaan JKM. Anak saudaranya menafikan tuduhan Asmah hidup terabai seperti dalam gambar yang menjadi viral (gambar kecil). FOTO Essa Abu Yamin
PENDUDUK membantu Asmah untuk dibawa masuk ke dalam kenderaan JKM. Anak saudaranya menafikan tuduhan Asmah hidup terabai seperti dalam gambar yang menjadi viral (gambar kecil). FOTO Essa Abu Yamin
Mohd Hanafis Abdul Haris


Batu Pahat: Seorang wanita tampil menafikan tuduhan dilemparkan kepada keluarganya susulan gambar ibu saudaranya yang didakwa hidup terabai dan merempat di Kampung Parit Makmor, Senggarang, di sini sejak semalam.

Norhasimah Ismail, 50, berkata, dia sudah menjaga Asmah Hasim, 77, dan anaknya Azizah Darmawan, 57, sejak 20 tahun lalu.

"Saya menafikan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan mereka hidup terabai. Jika sengaja dibangkitkan keadaan rumah yang kotor, percayalah sudah beratus kali saya kemas.

"Namun ibu saudara mempunyai masalah kesihatan dan sering lupa manakala anaknya pula orang kurang upaya (OKU). Memang senang untuk orang tuduh macam-macam, namun hanya tuhan sahaja yang tahu kisah sebenar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Batu Pahat, Khairu Asri Ismail, berkata, kedua-dua beranak itu akan ditempatkan di Rumah Sri Kenangan (RSK), Johor Bahru selepas dibawa ke sana, 1.30 tengah hari ini.

Gambar dua beranak itu menjadi viral sejak semalam apabila mereka kelihatan hidup dalam keadaan menyayat hati dan serba kekurangan.

Malah, gambar Asmah yang duduk di bawah helaian surat khabar dengan dikelilingi sampah sarap turut menyentuh perasaan pembaca laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 4:26 PM