Mia dan Izham bakal bergelar suami isteri. FOTO HM/ ADI SAFRI
Mia dan Izham bakal bergelar suami isteri. FOTO HM/ ADI SAFRI
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Mia Ahmad dan penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Izham Tarmizi Roslan mengumumkan akan disatukan sebagai suami isteri pada 13 Januari depan.

Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, berkata, majlis akad nikah akan berlangsung pada sebelah pagi di Villa Sentosa, Taiping, Perak.

"Selepas lapan bulan mengenali hati budi masing-masing kami akhirnya bersedia melangkah ke jenjang pelamin.

"Perancangan dibuat dalam tempoh yang singkat dan gembira apabila bakal bergelar suami isteri tidak lama lagi.

"Majlis akad nikah akan diadakan pada 13 Januari 2017 dan keesokan harinya (14 Januari) berlangsung majlis resepsi di Kelab Golf Taiping. Tetamu terdiri daripada keluarga saya dan Izham,” katanya pada sidang media semalam.

Mia yang mencipta nama menerusi drama Hati Perempuan, mula berkenalan dengan Izham apabila jejaka itu sering menegurnya di laman sosial Twitter.

"Ketika itu saya tidak tahu dia pemain bola sepak. Cuma saya rasa pelik kerana setiap kali dia menegur di Twitter, peminat pasti kecoh mengusik kami.

"Apabila tahu identiti sebenarnya, saya tidak lagi melayan dia kerana bimbang dipandang serong peminat. Apatah lagi Twitter boleh dilihat pengikut saya.

"Bagaimanapun Izham tidak mudah berputus asa apabila terus memikat saya dan itu antara faktor saya menerimanya,” kata Mia.

Mia menjelaskan tiada majlis pertunangan tetapi keluarga Izham menghantar rombongan merisik dua minggu lalu.

Izham, 26, mengakui terpikat dengan Mia apabila menonton drama Hati Perempuan.

"Mia ada ciri-ciri wanita idaman saya dan sejak itu mula mengikuti perkembangannya di laman sosial.

"Apabila mengenalinya, saya dapat pengalaman baru terutama apabila menyelami kehidupannya sebagai pelakon.

"Saya tiada masalah menyesuaikan diri dengan kariernya,” katanya yang turut hadir pada sidang media itu.

Menurut pasangan ini persiapan perkahwinan mereka setakat ini sudah siap 80 peratus.

Majlis resepsi pengantin lelaki akan diadakan di Marang, Terengganu pada Mac 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 7:28 PM