Arif beritahu Tegar membawa pulang semua barang ke kampungnya. FOTO HM
Arif beritahu Tegar membawa pulang semua barang ke kampungnya. FOTO HM
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bekas pengurus penyanyi Tegar iaitu Arif Dollah menafikan dakwaan Tegar dia mengambil barangan peribadi dan wang hasil persembahan penyanyi itu.

Arif ketika dihubungi di Singapura berkata, Tegar juga tidak pulang sehelai sepinggang kerana dia yang menghantar pulang penyanyi itu ke Jakarta, Indonesia pada 25 Januari tahun lalu.

“Dakwaannya itu memang kelakar. Saya terfikir drama simpati apa pula yang ingin disampaikan. Namun, tak mengapa kerana saya sudah maklum strategi yang sering digunakan penyanyi itu sejak awal pembabitannya lagi,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan dakwaan Tegar mengatakan dia kecewa dengan Arif yang membiarkannya pulang ke Jakarta sehelai sepinggang.

Tegar turut mendakwa Arif mengambil barangan miliknya seperti komputer riba, telefon bimbit, pakaian untuk persembahan, pasport dan wang persembahan serta hanya memulangkan gitar milik Tegar berharga RM15,000.

Ditanya mengenai dakwaan itu, Arif menafikannya dan menjelaskan Tegar sudah membawa semua barang itu pulang ke kampungnya di Subang, Indonesia.

“Kalau nak tahu, dia pulang ke kampungnya dengan membawa semua barang yang dimaksudkan termasuk pasport, dua komputer riba, alat permainan PS3, XBox dan tujuh buah gitar. Cuma pakaian saja dia tak bawa bersama.

“Jadi apabila pangsapuri di Jakarta perlu dikosongkan, semua barangan perlu dibawa keluar. Semua itu sudah diserahkan oleh pembantu peribadi saya Chandra termasuk gitar berharga RM15,000 itu," katanya kepada Harian Metro.

Arif berkata, semua wang hasil persembahan sudah dipindahkan ke akaun bank milik ibunya Ratna pada 19 Januari tahun lalu yang membabitkan persembahan terakhir Tegar di Istana Budaya, di sini.

"Memang mengikut perjanjian dan kemahuan Tegar sendiri, 40 peratus daripada wang hasil persembahan perlu diserahkan kepada ibunya. Saya ada bukti segala transaksi yang dibuat, malah wang terakhir membabitkan persembahan Tegar di Istana Budaya iaitu Sirah Junjungan berjumlah 51,122,591 juta Rupiah (RM16,839) pun saya sudah pindahkan.

"Jadi kenapa dia perlu ungkit mengenai perkara itu sedangkan dia sendiri maklum mengenainya. Malah dalam laporan polis yang dibuat di Singapura pun tak menyebut mengenai kecurian duit melainkan hal gangguan seksual saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 3:39 PM