Tegar (kanan) enggan bekerjasama dengan Arif pada masa depan. FOTO TB.com
Tegar (kanan) enggan bekerjasama dengan Arif pada masa depan. FOTO TB.com
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi popular Indonesia, Tegar mengesahkan krisis membabitkan dirinya dengan bekas pengurus Arif Dollah sejak tahun lalu sudah selesai.

Tegar atau nama sebenarnya Tegar Septian, 15, berkata, sejak kes gangguan seksual membabitkan bekas pengurusnya yang berasal dari Singapura itu, dia tidak pernah lagi berjumpa dengan Arif.

Tegar dengan nada tegas juga enggan berjumpa langsung dengan bekas pengurusnya itu kerana terlalu kecewa dengan apa yang menimpa dirinya.

"Lebih baik saya tak berjumpa dengannya. Lagipun saya tidak mahu kejadian lama bermain-main di fikiran saya. Disebabkan kejadian itu, saya kini lebih berwaspada untuk mempercayai orang yang baru saya jumpa.

“Saya sebenarnya sangat kesal dan kecewa dengan sikapnya. Saya juga terpaksa pulang ke kampung sehelai sepinggang. Apa pun, saya tak berdendam dengannya. Cukuplah sekadar saya tak bekerjasama dengannya lagi," katanya kepada Harian Metro.

Berikutan kejadian itu, Tegar membuat laporan polis di Singapura. Namun, selepas siasatan pihak berkuasa di sana menggugurkan kes terbabit tahun lalu.

"Walaupun laporan polis dibuat, tetapi kes itu tak sampai ke peringkat pendakwaan. Jadi saya pun malas nak ambil pusing sehinggalah ia senyap begitu saja,” katanya.

Tegar berkata, selepas isu berkenaan, Arif ada memulangkan gitar miliknya yang berharga hampir RM15,000.

"Kalau ikutkan banyak lagi barang saya yang diambil seperti komputer riba, telefon bimbit, pakaian untuk persembahan, pasport dan wang persembahan, tetapi gitar saja yang dipulangkan. Itu pun dia kirim melalui rakan saya yang kebetulan pulang ke Jakarta," katanya.

Ditanya mengenai jumlah wang tunai yang diambil bekas pengurusnya itu, Tegar memaklumkan ia mencecah ratusan ribu ringgit.

Dalam pada itu, Tegar yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang turut menafikan dia kini kembali menjadi penyanyi jalanan dan kehidupannya kembali susah.

“Kehidupan saya tidaklah susah seperti dulu walaupun hanya pulang ke kampung sehelai sepinggang selepas isu berkenaan. Sejak itu saya hanya duduk di rumah selain turut membuat beberapa persembahan.

“Walaupun tawaran mengadakan persembahan tidak sehebat dulu, tetapi ia tetap ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:04 PM