Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Usahawan wanita muda perlu ketepikan perasaan dengki, sebaliknya wujudkan perasaan untuk sama-sama berjaya.

Ikon Keusahawanan Puteri Umno 2016, Sofia Ahmad, 32, berkata, wanita perlu bangkit sekiranya berdepan dengan kegagalan.

"Sejak bermula pada 2015, saya banyak berdepan cabaran tetapi dengan usaha dan tekad saya dapat laluinya.

"Saya masih banyak belajar kerana saya masih muda tetapi sentiasa bersemangat sebab kalau saya reka hijab saya sendiri akan cuba," katanya yang menerima anugerah berkenaan pada Perhimpunan Agung Umno 2016 (PAU 2016) hari ini.

Sofia yang juga pengasas eroses Hijab menerima anugerah berkenaan apabila mampu mempunyai 13 stokis seluruh negara dalam masa setahun termasuk di Singapura dan Brunei.

"Memang sentiasa ada saingan, kalau kita sentiasa fikir orang lain lebih berjaya daripada kita, kita akan rasa rendah diri.

"Tipulah kalau saya kata tak pernah rasa macam itu tapi kita terus bangkit dan fikir ia persaingan sihat dan berjaya macam orang lain," katanya yang juga ibu kepada dua anak.

Sementara itu, pramugari, Feadylia Izati Abd Karim, 25, berpendapat galakan perlu diberikan kepada golongan ini untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

"Wanita muda ini kita menggalakkan mereka terutamanya suri rumah untuk terlibat dalam perniagaan.

"Apatah lagi wanita muslimah sekarang ini ada cara tersendiri untuk berfesyen seterusnya menggalakkan pereka hijab untuk tampilkan rekaan yang menarik," katanya.

Katanya, perniagaan hijab yang kini semakin berkembang turut menggalakkan lebih ramai wanita untuk berhijab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2016 @ 7:21 PM
Pramugari, Feadylia Izati Abd Karim, 25. FOTO Mior Azlan
Pramugari, Feadylia Izati Abd Karim, 25. FOTO Mior Azlan
Sofia Ahmad, 32, dianugerahkan Ikon Keusahawanan Puteri Umno 2016. FOTO Mior Azlan
Sofia Ahmad, 32, dianugerahkan Ikon Keusahawanan Puteri Umno 2016. FOTO Mior Azlan