GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Seorang suri rumah berusia 64 tahun cedera dan kerugian kira-kira RM6,000 selepas barang kemas dipakai disamun penjenayah dalam kejadian di Bukit Pasir di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ,Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata mangsa disamun oleh lelaki yang tidak dikenali yang bersenjatakan parang kira-kira 5 pagi ketika mahu bersahur.

"Ketika membuka lampu tiba-tiba ternampak seorang suspek di hadapannya dan seorang lagi berhampiran pintu belakang.

"Suspek di hadapannya yang bersenjatakan parang terus menyerang mangsa sambil merentap barang kemas iaitu seutas rantai leher dan seutas gelang emas.

"Mangsa mengalami kecederaan ringan di tangan dan kepala, mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nora (HSNI).

"Tiada kesan pecah rumah, suspek dipercayai membuka pintu belakang rumah melalui lubang jaring yang berhampiran dengan penyelak pintu sebelum masuk dan keluar melalui pintu yang sama," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Dalam pada itu, anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Abu berkata, kejadian berlaku sangat pantas kurang daripada lima minit dan menyebabkan ibunya cedera di leher, muka dan tangan kiri.

"Dia acukan parang ke muka ibu dan tangan kiri ibu memegang parang itu yang menyebabkan luka kerana terhiris sedikit.

"Suspek juga bertindak merentap rantai emas dengan parang yang sama hingga terputus sebelum melarikan diri.

"Ibu hanya mampu menarik baju suspek dan menjerit meminta tolong sebelum abang, adik dan ayah yang kudung kedua kaki terjaga tetapi mereka tak sempat berbuat apa," katanya.

Katanya, salah seorang suspek memakai topeng muka manakala seorang lagi tidak selain suspek meninggalkan selipar serta sarung parang di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 5:55 PM