GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Kalbana Perimbanayagam

SEKUMPULAN lelaki warga asing yang sedang leka bermain mesin judi di apartment di Taman Pandan Mesra, Ampang, terkejut apabila premis berkenaan diserbu polis, semalam.

Serbuan yang dijalankan 9.45 malam itu, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menahan 12 lelaki warga Indonesia.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, pihaknya mendapat maklumat premis berkenaan menjalankan aktiviti judi sebelum melakukan risikan.

"Pasukan dari d7 IPK Selangor menyerbu premis berkenaan dan ketika operasi dijalankan kami mendapati seramai 12 kaki judi sedang leka bermain mesin slot. Pemeriksaan lanjut mendapati mereka terdiri daripada warga Indonesia.

"Dua lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga premis turut ditahan dalam operasi ini selain dua wanita warga Indonesia yang mengaku sebagai pekerja," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya merampas lima unit mesin simulator, 30 mesin slot, 10 kad tambah nilai, lima buku catatan, tiga cip dan wang tunai bernilai RM282.

"Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang untuk tindakan lanjut. Kami juga mendapati premis berkenaan beroperasi secara haram tanpa sebarang lesen.

"Semua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 4B Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya.

Tambah beliau, operasi untuk membanteras kedai judi akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan Selangor bebas daripada aktiviti judi haram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 10:27 PM