Mohd Shakri (kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media berkaitan kejayaan anggota Polis menumpaskan sindiket African Scam di IPK Selangor. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Mohd Shakri (kiri) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang media berkaitan kejayaan anggota Polis menumpaskan sindiket African Scam di IPK Selangor. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK)Selangor menahan 44 suspek yang dipercayai terbabit dengan sindiket 'African Scam' di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang pada 16 November lalu

Ketua JSJK Selangor Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis hiburan di Puchong dan berjaya menangkap seramai 36 orang membabitkan lapan wanita tempatan, 18 lelaki Nigeria, tiga wanita Thailand, dua wanita Filipina, tiga wanita Nigeria, satu wanita Vietnam dan Indonesia.

Menurutnya, hasil soal siasat, polis turut membuat tangkapan susulan di beberapa lokasi lain iaitu enam lelaki Nigeria dan seorang lelaki dan wanita warga tempatan.

"Polis turut merampas 14 laptop, lima modem, pelbagai buku cek, salinan resit bank serta kad bank yang dipercayai digunakan sindiket.

"Semua suspek kini dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Sakri berkata, modus operandi sindiket adalah dengan cara berkenalan menggunakan laman sosial seperti Facebook (Fb) dengan mengaku dirinya sebagai warganegara United Kingdom.

"Selepas beberapa lama berkenalan, suspek memberitahu menghantar satu bungkusan hadiah yang mengandungi pelbagai barangan mewah termasuk beg tangan dan juga wang tunai.

"Suspek kedua dipercayai warga tempatan kemudiannya akan menghubungi mangsa dan kenalkan sebagai Pegawai Kastam, wakil syarikat kurier atau Jabatan Imigresen dan memberitahu bungkusan berkenaan ditahan di lapangan terbang, mangsa diarahkan membuat pembayaran sebagai cukai," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, statistik membabitkan kes penipuan African Scam di Selangor sejak Januari hingga November 2016 membabitkan 554 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM20.8 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 1:33 PM