WARGA Afrika yang terbabit dalam sindiket Afrika Scam ditahan. Gambar kecil, Acryl Sani. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
WARGA Afrika yang terbabit dalam sindiket Afrika Scam ditahan. Gambar kecil, Acryl Sani. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Tidak ubah seperti ‘konsortium’ yang diwakili ahli sindiket dari pelbagai negara Afrika.

Itu antara taktik sindiket African Scam yang kini dianggotai ahli dari Nigeria, Ghana dan Ivory Coast dalam usaha menipu mangsa di seluruh dunia.

Namun apa yang menggusarkan apabila Malaysia dipilih sebagai markas strategik untuk beroperasi berdasarkan maklumat diserahkan Polis Antarabangsa (Interpol) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Susulan aduan diterima berhubung penipuan mangsa membabitkan mangsa rakyat Singapura, Amerika Syarikat dan Australia, PDRM segera menjalankan risikan sebelum memberkas 14 ahli sindiket itu di empat lokasi sekitar ibu kota pada 27 September hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 11 lelaki dan dua wanita Afrika ditahan berasal dari pelbagai negara di benua itu.

Menurutnya, sindiket tidak lagi menjadikan lelaki atau wanita tempatan sebagai mangsa sebaliknya memilih mangsa baru dari Eropah, Australia, Singapura dan Amerika Syarikat.

“Sebanyak 35 laporan polis diterima berhubung kegiatan sindiket ini yang membabitkan kerugian sebanyak RM941,700.

“Suspek berusia 25 hingga 35 tahun yang mendakwa penuntut kolej swasta. Modus operandi yang digunakan suspek sama iaitu berkenalan menerusi laman sosial dan aplikasi mesej,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian mendakwa akan menghantar bungkusan kepada mangsa kononnya sebagai tanda persahabatan atau kasih sayang.

“Mangsa akan terperangkap apabila menerima panggilan daripada ahli sindiket yang menyamar sebagai pegawai kastam, imigresen atau syarikat kurier yang memerlukan mangsa membayar sejumlah wang untuk menyelesaikan masalah.

“Apabila pindahan wang dibuat ke akaun diberikan, bungkusan itu tidak diperoleh dan suspek gagal dihubungi,” katanya.

Malah ada juga yang meminta wang daripada mangsa kononnya berdepan masalah kewangan dengan mencipta pelbagai kisah tidak wujud.

Acryl berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 21 telefon pintar pelbagai jenama, tujuh komputer riba, 19 kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), enam pasport, kereta Perodua Myvi, satu jam tangan, enam kad akses, kunci dan pelbagai dokumen.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan 1963 dan Akta Passport 1966 (Akta 150).

“Difahamkan, lebih 50 laporan polis diterima di Singapura berkenaan sindiket yang sama,” katanya.

Sejak Januari hingga September lalu, JSJK menerima 1,719 laporan kes ‘African Scam’ membabitkan kerugian RM66.06 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 7:51 AM