BARANGAN yang dirampas  di rumah suspek.
BARANGAN yang dirampas di rumah suspek.

Kuala Lumpur: Seorang wanita tempatan berusia 32 tahun dikesan memainkan peranan sebagai jurubahasa cinta apabila menjadi penterjemah kepada teman lelakinya berusia 34 tahun untuk menipu mangsa membabitkan kerugian RM390,000.

Menggunakan tipu daya perkenalan di laman sosial seperti Facebook, suspek lelaki warga Nigeria menggunakan akaun Facebook palsu bagi menggoda mangsa.

Bagaimanapun, taktik sindiket itu terbongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menyerbu kondominium mewah di Damansara Damai, di sini, kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah Operasi/Bantuan Teknik JSJK Bukit Aman Asisten Komisioner Mohd Nurol Hadi Yusoff berkata, dua suspek dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu ditahan selepas risikan tiga bulan.

“Kami percaya wanita itu bertindak sebagai penterjemah kepada suspek lelaki untuk menyusun kata-kata manis di dalam ruangan perbualan di Facebook sebelum memperdaya mangsa,” katanya.

Difahamkan suspek memujuk rayu mangsa selepas berkenalan dalam tempoh sebulan dengan mengatakan dirinya seorang hartawan, namun mempunyai harta yang tidak boleh dikeluarkan dan perlu meminjam wang daripada mangsa untuk mengeluarkan wang itu.

Beliau berkata, dengan tertumpasnya sindiket ini JSJK Bukit Aman percaya sudah menyelesaikan 14 kes membabitkan penipuan ‘Romance Scam’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 5:23 AM