Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman tahan 35 suspek sejak Julai lalu di beberapa lokasi seluruh negara dipercayai terbabit dalam 'African Scam' membabitkan kerugian lebih RM26 Juta.

Timbalan Pengarah Siasatan JSJK Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, suspek terdiri daripada 23 lelaki Afrika, enam wanita Afrika, empat wanita tempatan dan masing-masing seorang wanita warga Indonesia dan Thailand ditahan dalam Ops Tiong yang dilancar bagi memburu sindiket penipuan membabitkan warga Afrika.

"Rata-rata suspek yang ditahan berusia 30-an dan mereka menggunakan modus operandi berkenalan dengan mangsa di Facebook menggunakan profil diri yang lebih menggoda.

"Sebaik berjaya menyakinkan mangsa untuk menjalinkan hubungan cinta, suspek mula memasang jerat dengan mengatakan ingin memberi hadiah berharga yang memerlukan mangsa pergi mengambil hadiah berkenaan yang kononnya kini di dalam simpanan pihak kastam dan mangsa perlu membayar wang untuk mengambil hadiah itu," katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat JSJK, di sini, sebentar tadi.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 12:31 PM