A Asmadi (tengah) bersama anggotanya menunjukkan gambar tiga suspek yang merompak premis menjual telefon bimbit dan aksesori ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka.  FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
A Asmadi (tengah) bersama anggotanya menunjukkan gambar tiga suspek yang merompak premis menjual telefon bimbit dan aksesori ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah, Melaka. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Polis memburu tiga lelaki yang merompak sebuah premis menjual telefon bimbit dan aksesori di Kuala Sungai Baru, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu tiga suspek dipercayai berusia 20 hingga 30-an melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata, berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis terbabit.

"Kita belum dapat mengesan identiti ketiga-tiga suspek namun berjaya mendapat wajah mereka yang dirakam CCTV selain mengambil lapan kesan cap jari dalam premis terbabit," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Alor Gajah, di sini, pagi tadi.

Asmadi berkata, dua wanita seorang penjaga premis dan seorang rakannya berusia 20-an berada dalam premis terbabit ketika kejadian.

Menurutnya, seorang suspek berada di luar premis manakala dua lagi dalam premis menyamar sebagai pelanggan dan bertanyakan mengenai 'powerbank'.

"Seorang suspek mengacukan parang ke leher penjaga premis sebelum melarikan 29 telefon bimbit pelbagai jenama, sejumlah kad sim serta wang tunai RM1,100, sebelum melarikan diri menaiki kereta dipercayai Perodua Axia berwarna hitam.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kita meminta orang awam yang melihat suspek seperti dalam gambar, menghubungi balai polis berdekatan dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 5:50 PM