A Asmadi menunjukkan motosikal yang dirampas. FOTO Rasul Azli Samad
A Asmadi menunjukkan motosikal yang dirampas. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin


LEKA menunggu pelanggan tetapi polis yang singgah. Begitulah detik malang tokan dadah sebelum dicekup polis di tepi jalan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di Alor Gajah, Selasa lalu.

Ketika kejadian 4.30 petang itu, suspek yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai buruh sedang duduk di motosikalnya di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, polis melakukan rondaan mendatangi suspek selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila diminta menunjukkan pengenalan diri, suspek gagal berbuat demikian dan hanya memberikan butiran pengenalan secara lisan. Siasatan lanjut dan pemeriksaan menjumpai beg pinggang berwarna coklat.

“Pemeriksaan lanjut menemui dua paket lut sinar dan satu tiub penyedut minuman berisi dadah dipercayai heroin. Tiga paket lut sinar berisi dadah dipercayai syabu ditemui di zip belakang beg terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini, semalam.

Beliau berkata, heroin yang dirampas seberat 52.12 gram, manakala syabu seberat 6.63 gram dianggar bernilai RM2,600.

Asmadi berkata, siasatan lanjut mendapati motosikal digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang pada 2 Disember lalu.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas suspek juga disahkan positif dadah jenis morfin.

“Justeru, suspek direman tujuh hari sehingga Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 3:09 PM