Kuala Lumpur: Penyandang juara Delia Arnold (gambar) tidak berdepan masalah mara ke suku akhir Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Bukit Jalil apabila mudah menundukkan Lee Jia Wei, 11-5, 11-4, 11-6.

Delia yang akan beraksi di Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di Perancis hujung bulan ini hanya memerlukan 20 minit untuk menjinakkan Jia Wei.

Bagaimanapun, pemain nombor satu negara yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu tidak mahu terlalu yakin untuk mempertahankan gelarannya itu kerana sedar saingan semakin sengit dari hari ke sehari.

“Biarpun kemenangan itu mudah, saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya.

“Setiap hari saingan akan bertambah sukar jadi saya perlu memikirkan selangkah demi selangkah sebelum memikirkan dapat mempertahankan gelaran,” katanya yang menganggap Kejohanan Skuasy Kebangsaan ini sebagai medan memanaskan badan sebelum ke Perancis pada 25 November ini.

Delia akan menentang Zoe Foo Yuk Han di suku akhir selepas menundukkan Teh Min Ern 11-6, 6-11, 11-6, 11-6.

Sementara itu, pemain nombor satu lelaki negara, Nafiizwan Adnan turut mara ke suku akhir selepas menewaskan Ng Jo Wen 11-6, 11-7, 11-7.

Menantinya ialah Mohammad Syafiq Mohd Kamal yang menewaskan Muhammad Asyraf Azan 13-14, 11-4, 11-3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:20 AM